Jumaat, 23 September 2022 | 10:31am

Musim tengkujuh tambah resah penduduk Baling

BALING: Musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November depan menambah resah penduduk di kawasan berhampiran Sungai Kupang di sini, yang masih diselubungi trauma akibat kejadian banjir yang beberapa kali berlaku sejak 4 Julai lalu.

Penduduk di beberapa kampung di Mukim Kupang ketika ditemui, mengakui tidak senang duduk apabila terpaksa mengharungi musim hujan yang begitu lama pada tahun ini.

Penduduk Kampung Iboi, Asri Balkis, 48, berkata semua barang di rumahnya, termasuk kereta diletakkan di tempat tinggi sebagai persediaan jika berlaku banjir selepas ini.

"Anak ketiga saya berusia 15 tahun paling trauma apabila cuaca mendung sahaja, dia terus mengemas pakaian dan ajak kami berpindah ke rumah datuknya yang terletak di kawasan lebih tinggi.

"Saya lihat anak agak tertekan dan tidak dapat melupakan kejadian banjir sebelum ini, apatah lagi kita bakal menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi. Kami tidak tahu apa nasib kami nanti," kata bapa kepada lima orang anak ini.

Asri dan isterinya, Rosnani menyusun barangan penting seperti pakaian dan dokumen di atas sofa sebagai persediaan menghadapi banjir.-Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Asri dan isterinya, Rosnani menyusun barangan penting seperti pakaian dan dokumen di atas sofa sebagai persediaan menghadapi banjir.-Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Isteri Asri, Rosnani Sahak, 44, pula sudah bersiap sedia menyusun pakaian dan dokumen penting di tempat lebih tinggi di bahagian ruang tamu supaya mereka sekeluarga mudah untuk mencari dan menyelamatkan barangan itu apabila berlaku banjir.

Dia juga berharap dapat berpindah ke tempat yang lebih selamat selepas rumah mereka yang terletak hanya 10 meter dari sungai tidak lagi selamat didiami.

"Kami bimbang musim tengkujuh nanti akan menyebabkan banjir bertambah teruk dan mungkin memusnahkan rumah yang kami diami. Kami memang mahu berpindah dan jika boleh, mahu bina rumah berdekatan dengan rumah bapa saya di tempat yang lebih tinggi.

"Harapnya kerajaan dapat bantu membina rumah baharu untuk kami kerana kami tidak mampu disebabkan saya dan suami hanya menjual nasi lemak dengan pendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari," katanya.

Penduduk Kampung Dusun, Salimin Isa, 50, pula berkata semua makanan sudah diletakkan di tempat lebih tinggi, manakala pakaian, ubat-ubatan, dokumen penting serta perabot diletakkan di atas meja.

"Sebelum ini saya kehilangan lori, kereta dan lima motosikal. Rasa trauma dengan kelajuan air yang menghanyutkan kayu dan balak masih lagi terasa hingga hari ini.

"Musim tengkujuh nanti pasti kami bertambah takut kerana hujan yang banyak boleh menyebabkan puing di Gunung Inas dihanyutkan arus deras. Sekarang ini apabila hujan saja, hati sudah gundah gulana dan kami tidak tahu bagaimana harus hadapi musim tengkujuh nanti," katanya.

Bagi Mohd Dahari Abdul Latef, 64, pengalaman terpaksa memanjat dan berpaut pada pokok pinang setinggi enam meter hampir tiga jam sehingga diselamatkan pada jam 11 malam menyebabkan dia tidak dapat melupakan peristiwa itu hingga kini.

"Saya bernasib apabila balak yang hanyut tidak merempuh pokok pinang yang menjadi tempat saya berlindung.

"Cukuplah dengan apa yang berlaku, sehingga sekarang semua barangan saya letak di atas rumah. Lantai rumah juga kini tidak beralaskan tikar kerana bimbang banjir berlaku lagi.

"Saya harap proses mengorek pasir di sungai dapat dilakukan dengan cepat untuk mendalamkannya (sungai), sebelum musim tengkujuh," katanya yang menetap di Kampung Dusun.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, bencana banjir lumpur dan aliran puing menjejaskan lebih 800 penduduk dari 42 kampung sekitar Kupang serta meragut tiga nyawa di Kampung Iboi.

Salimin menunjukkan makanan yang dibungkus dalam plastik digantung di tempat tinggi sebagai persediaan menghadapi banjir. Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Salimin menunjukkan makanan yang dibungkus dalam plastik digantung di tempat tinggi sebagai persediaan menghadapi banjir. Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Berita Harian X