Khamis, 22 September 2022 | 5:49pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Mahasiswa didakwa miliki 740 bahan lucah kanak-kanak

SEREMBAN: Seorang penuntut universiti swasta warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 12 pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Zobaidul Amin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, pelajar perubatan universiti swasta di ibu negara itu didakwa atas lapan pertuduhan mengarah atau menghasilkan pembuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video menggunakan perkhidmatan aplikasi Snapchat.

Dia didakwa di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagi empat lagi pertuduhan, Zobaidul didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak iaitu 740 imej digital dalam telefon bimbit, pemacu USB dan cakera keras.

Dia didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bukit Rasah, di sini, antara 26 Oktober 2021 sehingga 19 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, memohon tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Katanya, tertuduh dibimbangi meneruskan aktiviti mengarahkan penghasilan pornografi kanak-kanak dan mengganggu mangsa secara dalam talian sekiranya ikat jamin diberikan.

Peguam tertuduh, Harvindar Singh, memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya kerana kesalahan itu boleh diikat jamin.

Mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM96,000 iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin dalam kalangan warganegara Malaysia.

Tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang lain.

Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 30 November.

Berita Harian X