Selasa, 20 September 2022 | 5:06pm

Bapa dipenjara 428 tahun rogol, amang seksual, seks luar tabii dengan anak

MELAKA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 428 tahun dan 240 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii, amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung serta mengugut bunuh isteri dan anak-anaknya.

Bagaimanapun Hakim Nariman Badruddin menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh berusia 56 tahun itu berjalan serentak secara berperingkat dan menjadikan tempoh pemenjaraan selama 45 tahun selain hanya 24 sebatan maksimum.

Nariman memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan tertuduh yang mengekalkan pengakuan bersalah terhadap 28 pertuduhan dibuat di Mahkamah Sesyen semalam, menimbangkan rayuan, fakta kes, keterangan impak mangsa (VIS) dan hujah pemberatan hukuman oleh pihak pendakwaan.

Berdasarkan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anaknya kini berusia 19 dan 15 tahun secara berasingan, membabitkan 13 dan lapan kes, masing-masing.

Lelaki itu yang juga penyelia syarikat pemegang pelaburan turut didakwa atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA KK iaitu serangan seksual terhadap mangsa berusia 15 tahun dan berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

Selain itu, bapa lima anak itu turut berdepan satu pertuduhan lain mengikut Seksyen 377B Kanun sama kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama serta satu lagi pertuduhan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 16 pula memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan sebat.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 24 September 2015 hingga 5 September lalu bermula selepas kedua-dua mangsa berusia 12 tahun di rumah mereka di Batu Berendam.

Mengikut fakta, detik hitam menimpa dua beradik itu berlaku sejak 2015 dan terbongkar selepas isteri mangsa terlihat tertuduh sedang merogol anak keduanya kini berusia 15 tahun dalam kejadian terbaru pada 5 September lalu.

Tertuduh yang mempunyai dua isteri dikatakan melakukan perbuatan itu di setiap ruang rumah termasuk atas tangga, sofa ruang tamu, bilik kelamin dan bilik tidur kedua-dua mangsa.

Selain itu dia juga beberapa kali memaksa anak keduanya melakukan hubungan seks termasuk melakukan amang seksual.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang menjalankan pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira VIS diberikan kedua-dua mangsa jelas membuktikan mereka trauma sehingga takut untuk mendekati lelaki lain mahupun saudara mereka.

Beliau berkata, mangsa berusia 19 tahun malah memberitahu dia tidak lagi mempercayai malah membenci lelaki seusia bapanya itu walaupun mereka baik kepadanya.

Katanya, mangsa kedua pula antara lain menyatakan dia hampir gila memikirkan perbuatan jijik bapanya itu yang menggunakan pelbagai ugutan dan helah serta berani memaksanya mengadakan seks biarpun ibunya berada di rumah.

"Ini termasuk memaksa mangsa melakukan seks di bilik tingkat atas jika ibu berada di tingkat bawah atau sibuk di dapur.

"Malahan, tertuduh juga ada ketika meminta ibu mangsa balik ke kampung atau pergi membeli barangan dapur dan melarang mangsa mengikutnya bagi membolehkan dia melakukan seks dengan mangsa di rumah," katanya.

Anis Najwa turut berhujah sifat 'kebinatangan' tertuduh merosakkan institusi kekeluargaan sedangkan tanggungjawabnya sebagai ayah untuk melindungi kehormatan anak perempuannya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menyatakan dia sudah insaf dan sudah memohon maaf kepada isteri serta anak-anak selain merayu mahkamah menimbangkan faktor dia menghidap penyakit jantung, darah tinggi, diabetes, sakit kulit kronik serta masalah tulang belakang.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret 2, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun atas kesalahan mengugut membunuh isteri dan anak-anaknya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Tertuduh berusia 56 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh menghadapi 21 tuduhan rogol, seks luar tabie, amang seksual dan ugutan jenayah terhadap dua anaknya - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh berusia 56 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh menghadapi 21 tuduhan rogol, seks luar tabie, amang seksual dan ugutan jenayah terhadap dua anaknya - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X