Isnin, 19 September 2022 | 3:39pm
Shahidan (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang baharu kepada Rithuan (kanan) sambil disaksikan Bashir (kiri). - BERNAMA
Shahidan (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang baharu kepada Rithuan (kanan) sambil disaksikan Bashir (kiri). - BERNAMA

Shahidan saran buat kajian pilih masa sesuai adakan PRU15

LABUAN: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyarankan satu kajian dilakukan bagi mengenal pasti masa yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau, berkata kejadian banjir yang dijangka melanda pada penghujung tahun ini mungkin memberi impak kepada kehadiran pengundi jika PRU dijalankan.

"Ada keperluan untuk satu kajian mendalam dibuat, sama ada patut diadakan pilihan raya tahun ini atau tahun depan. Jika Parlimen dibubarkan dan banjir melanda beberapa negeri, pastinya kita memerlukan caretaker atau kerajaan sementara untuk tangani isu berkaitan banjir.

"Justeru terdapat kebaikan dan keburukan dalam mengadakan pilihan raya tahun ini dan tahun depan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahidan berkata, enam daripada tujuh kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang dimenangi UMNO, masih boleh dipertahankan parti itu pada pilihan raya akan datang.

Kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, membabitkan Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, selain Parlimen Labuan dan Putrajaya.

Beliau juga mengajak anggota UMNO pada semua peringkat mestilah memberi maklum balas bagi mematahkan elemen negatif dalam pelbagai platform media sosial yang boleh menjejaskan kekuatan parti.

"Satu pasukan khas, yang diberi tugas untuk menjawab dan memberi maklum balas kepada fitnah yang dilemparkan terhadap UMNO, telah menjalankan peranan mereka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X