KUALA LUMPUR: Nilai kompaun yang boleh dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap industri atau syarikat yang menyebabkan pencemaran dengan membuang atau melepaskan bahan buangan terlarang ke sumber air, akan ditingkatkan 2,500 kali ganda iaitu daripada RM2,000 ketika ini kepada RM5 juta.
Pindaan itu juga akan menyaksikan nilai denda boleh dikenakan mahkamah bagi sabitan kesalahan sama ditingkatkan sehingga 20 kali ganda iaitu kepada RM10 juta berbanding RM500,000 ketika ini.
Nilai kompaun dan denda baharu itu dijangka dikuatkuasakan menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), yang dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat, bulan depan.
Ketika ini, industri atau syarikat yang dikenakan kompaun perlu menjelaskan nilai yang dikenakan dalam tempoh sebulan dari tarikh kompaun dikeluarkan.
'Pastikan penjenayah alam sekitar serik'
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata kegagalan menjelaskan kompaun terbabit, boleh menyebabkan pesalah alam sekitar dibawa ke muka pengadilan dan berdepan denda lebih tinggi iaitu sehingga RM10 juta.
Katanya, kebanyakan kesalahan dilakukan syarikat yang kerap dikesan antaranya ialah pembuangan bahan terlarang ke dalam sungai dan tasik, selain pengimportan bahan buangan terjadual.
"Berdasarkan statistik sebelum ini, kita banyak merekodkan kes berulang dan atas dasar itu kita mencadangkan hukuman yang tinggi.
"Ia bertujuan bagi memastikan syarikat ini serik untuk mengulangi kesalahan dan dalam masa sama memastikan mereka menjaga alam sekitar dengan tidak sewenang-wenangnya membuang bahan terlarang ke sungai.
"Antara sebab mereka membuang bahan terlarang ke sungai adalah untuk menjimatkan kos kerana ingin mengelak daripada sistem kawalan pencemaran," katanya kepada BH.
Bagi tempoh 2017 hingga 2020, sebanyak 15,969 kompaun dikeluarkan dengan 1,036 kesalahan didakwa di mahkamah membabitkan denda sebanyak RM16.8 juta.
Wan Abdul Latiff berkata, kompaun dan denda itu dikenakan terhadap premis yang melakukan pelbagai kesalahan pengurusan efluen perindustrian, kumbahan dan air larut resap dari tapak pelupusan sisa pepejal di bawah Akta 127.
"Bagi tempoh sama (2017 hingga 2020), JAS sudah menjalankan 20,337 pemeriksaan ke atas industri yang menghasilkan efluen merangkumi premis yang ditetapkan antaranya kilang kepala sawit mentah, kilang getah asli mentah dan kilang pengolahan atau pemerolehan kembali buangan terjadual," katanya.
Beliau berkata, bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Oktober 2021, JAS menahan turut 200 kontena berisi 4,000 tan bahan buangan terjadual yang dibawa masuk dari negara luar secara haram.
Katanya, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 46 syarikat dikenakan notis arahan menghantar semula kontena berisi buangan terjadual ke negara asal yang dibawa masuk ke negara ini secara haram.
"Malaysia termasuk antara negara yang menjadi sasaran utama kemasukan bahan buangan terjadual terutama dari negara seperti China, Romania bagi tujuan pelupusan haram, kebanyakannya membabitkan buangan barangan elektrik dan elektronik kerana permintaannya yang tinggi.
"Negara terbabit mengambil jalan mudah dan murah untuk melupuskan buangan itu dengan menghantarnya ke negara ketiga (seperti Malaysia) sebelum ia diproses menjadi logam berharga," katanya.
Wan Abdul Latiff berkata, penguatkuasaan yang tegas melalui pindaan akta adalah perlu kerana kos bagi pembersihan sungai yang sudah tercemar memerlukan belanja yang tinggi, contohnya di Sungai Kim Kim, Johor yang menelan sehingga RM8.5 juta.
Selaras usaha kerajaan meminda Akta 127, Wan Abdul Latiff berharap jumlah kakitangan JAS turut ditambah dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan dan siasatan terhadap kesalahan alam sekitar.
"Ketika ini kita hanya mempunyai 1,053 pegawai penguat kuasa daripada keseluruhan 1,428 kakitangan yang terpaksa 'bertugas' 24 jam," katanya.
Selain kos pembersihan yang tinggi, pencemaran sumber air oleh industri juga menyaksikan jutaan penduduk Selangor dan Wilayah Persekutuan terputus bekalan air sebanyak lapan kali sepanjang 2020.
Pencemaran sumber air mentah di beberapa sungai penting di Selangor menyebabkan loji rawatan air (LRA) utama iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas disebabkan pencemaran minyak, bahan kimia dan efluen dilepaskan industri.