Ahad, 18 September 2022 | 12:47pm
Banjir di Kampung Sega, Rantau. - Foto ihsan APM
Banjir di Kampung Sega, Rantau. - Foto ihsan APM

Hujan berterusan jejaskan dua kampung

SEREMBAN: Hujan lebat awal pagi tadi dan berterusan sehingga ke jam 9 pagi menyebabkan dua kampung masing-masing di Port Dickson dan Rantau, di sini, dinaiki air.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Mejar (PA) Shamil Ithman, berkata banjir membabitkan Kampung Sri Rusa dan Kampung Sega.

"Hujan lebat jam 5 pagi mengakibatkan banjir kilat dan air masuk ke sebuah rumah penduduk di Kampung Sri Rusa setinggi 0.2 meter sebelum pihak kami ke lokasi untuk memantau keadaan.

"Rumah terbabit didiami lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan. Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan keadaan air semakin surut," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebuah rumah di Kampung Sega yang didiami lima ahli keluarga dinaiki air setinggi 0.2 meter.

"Pihak kami menerima panggilan jam 10.20 pagi daripada orang awam menyatakan berlaku banjir kilat sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi untuk memantau keadaan.

"Bagaimanapun keadaan terkawal dan kami memindahkan mangsa ke tempat selamat. Namun, tiada PPS dibuka setakat ini," katanya.

Orang ramai diminta supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga ketika hujan lebat dan berterusan selain dinasihatkan mengikut arahan pihak berkuasa.

Berita Harian X