Ahad, 18 September 2022 | 10:54am
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba. - BERNAMA
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba. - BERNAMA

Malaysia perlu beralih dari pengguna kepada negara pengeluar - Adham Baba

KOTA TINGGI: Malaysia perlu beralih daripada status sebagai pengguna kepada negara pembuat seiring kemajuan teknologi, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata untuk itu pihak kementerian mengharapkan lebih banyak peruntukan dapat disalurkan melalui bajet 2023 yang akan dibentangkan awal bulan depan, untuk dimanfaatkan bagi tujuan pengkomersialan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain memacu syarikat pemula.

Beliau berkata, perkara itu sudah pun dimajukan pihaknya menerusi satu sesi konsultasi bersama Kementerian Kewangan yang diadakan pada 31 Ogos lalu.

"Kita telah mengajukan beberapa pendekatan iaitu elemen R&D tidak boleh lagi berada di peringkat fundamental (asas) dan mesti berada di peringkat komersial produk dan perkhidmatan serta hasil R&D.

"Kita mesti beralih ke arah negara pembuat daripada pengguna...dengan teknologi baharu muncu,l kita mampu memberi pekerjaan kepada rakyat.

"Jadi, saya telah pun membangkitkan isu berkenaan syarikat pemula yang baharu memulakan perniagaan dalam bidang teknologi supaya diberi ruang tahun depan untuk mereka terus maju supaya tidak kecundang di tengah konsep R&D mereka," katanya kepada pemberita selepas Program Merdeka @ Parlimen Keluarga Malaysia Tenggara, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan kementeriannya untuk Bajet 2023.

Adham bersama-sama menyanyikan lagu Keluarga Malaysia ketika hadir pada Program Merdeka @ Parlimen Keluarga Malaysia Tenggara di Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi malam tadi.
Adham bersama-sama menyanyikan lagu Keluarga Malaysia ketika hadir pada Program Merdeka @ Parlimen Keluarga Malaysia Tenggara di Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi malam tadi.

Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, MOSTI turut diminta Kementerian Kewangan untuk menyusun semula strategi bagi memastikannya layak menerima peruntukan yang lebih.

Beliau pada masa sama yakin usaha itu dapat membantu penyelidik dan pembangun R&D mendapat tempat untuk meneruskan kegiatan dan mengkomersialkan produk, sekali gus menembusi pasaran antarabangsa.

Bajet 2023 dijangka dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Oktober depan. – BERNAMA

Berita Harian X