Sabtu, 17 September 2022 | 3:52pm
Allahyarham Nur Faiezah Aminah (kanan sekali) bersama ahli keluarga. - Foto ihsan keluarga.
Allahyarham Nur Faiezah Aminah (kanan sekali) bersama ahli keluarga. - Foto ihsan keluarga.

Askar wataniah korban nahas, tak sempat naik pelamin bulan depan

TANGKAK: Nur Faiezah Aminah Suib, 25, anggota Askar Wataniah (AW) yang maut selepas kereta dipandunya berlanggar trak tentera di Kilometer 49.2 Jalan Muar-Segamat, dekat sini semalam, bakal melangsungkan pernikahan dengan anggota polis, bulan depan.

Adiknya, Nur Fasihah Aminah, 23, berkata pihak keluarga sedang membuat persiapan untuk majlis berkenaan, tetapi semua kini musnah selepas arwah meninggal dunia dalam nahas kira-kira jam 3.30 petang semalam.

"Persiapan sedang dilakukan kerana kakak merancang naik pelamin dengan lelaki pilihannya bulan depan, namun kini semuanya musnah," katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Kampung Durian Chondong, di sini hari ini.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian, arwah kelihatan sangat ceria ketika berbicara dengan ibu mereka, Helen Murni Sulaiman, 50-an, mengenai tarikh pernikahannya yang dijadualkan pada 29 Oktober depan.

"Kami sekeluarga sedar arwah amat ceria kebelakangan ini kerana bakal menjadi suri rumah, malah menyatakan hasrat mahu mengenakan pakaian seragam AW untuk hari persandingannya nanti," katanya.

Nur Fasihah memberitahu, arwah yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik itu melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihannya iaitu seorang anggota polis trafik, kira-kira setahun lalu.

Katanya, kakaknya itu banyak menghabiskan masa dengan ibu jika cuti hujung minggu kerana arwah juga bertugas sebagai guru di sebuah Taska swasta.

Dalam nahas semalam, Nur Faiezah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan teruk pada leher, kepala dan beberapa bahagian badan.

"Kami menerima berita kemalangan menimpa kakak daripada ahli keluarga terdekat, kira-kira jam 4 petang semalam," kata Nur Fasihah sambil memaklumkan, keluarganya reda dengan ketentuan Ilahi.

Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dengan trak tentera di KM49.2 Jalan Muar ke Segamat. - Foto ihsan polis
Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dengan trak tentera di KM49.2 Jalan Muar ke Segamat. - Foto ihsan polis

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata hasil siasatan awal mendapati kereta mangsa hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung trak tentera.

Difahamkan, nahas itu ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Tangkak menuju ke Segamat, manakala trak tentera pula dari arah bertentangan. Susulan pelanggaran itu, kenderaan Proton Saga mangsa terperosok di bahagian bawah hadapan trak tentera.

Jenazah mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Daerah Tangkak (HDT), di sini, untuk bedah siasat sebelum selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam di FELDA Sri Jaya, di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Berita Harian X