Jumaat, 16 September 2022 | 6:34pm
Siti Norzah menerima lebihan pampasan yang disampaikan oleh Khairul Na’im, hari ini.
Siti Norzah menerima lebihan pampasan yang disampaikan oleh Khairul Na’im, hari ini.

Waris pelajar tajaan PPBU YBR terima lebihan pampasan RM2,564

KUALA LUMPUR: Waris Allahyarham Muhammad Najmi Abd Rahim, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang meninggal dunia pada Mac 2020, menerima pampasan sebanyak RM2,564 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR), hari ini.

Allahyarham yang juga penerima tajaan YBR sejak 2017, adalah pelajar tahun dua Diploma Sains Komputer dan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah ketika menerima rawatan sakit perut yang dialaminya.

Pampasan terbabit merupakan tuntutan takaful yang diterima bagi perlindungan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) berjumlah RM12,500 untuk sepanjang pengajian Allahyarham pada peringkat diploma.

Lebihan pampasan itu diserahkan kepada ibu Allahyarham, Siti Norzah Mat Daris, 53, yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru.

Siti Norzah berkata, bantuan diterima itu sedikit sebanyak melegakan bebannya menyara keluarga termasuk tiga anak masih bersekolah, susulan kematian suami kira-kira dua bulan sebelum pemergian Muhammad Najmi.

Beliau berkata, Allahyarham Muhammad Najmi sering mengadu sakit perut sebelum doktor mengesahkannya menghidap penyakit Ischaemic Bowel.

"Arwah adalah harapan kami sekeluarga tetapi kami reda, Allah lebih menyayanginya," katanya ketika menerima kunjungan pengurusan YBR bagi menyampaikan lebihan pampasan itu yang diserahkan oleh Pengurus Jabatan Penajaan YBR, Khairul Na'im Arifin, di rumah Siti Norzah di Skudai, Johor.

Yang turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Siti Norzah adalah waris selayaknya menerima baki pampasan itu berikutan bapa Muhammad Najmi telah meninggal dunia sekitar Januari 2020.

Sementara itu, Khairul Na'im berkata, Allahyarham ialah antara 6,408 pelajar yang berjaya menerima tajaan PPBU YBR.

"Pampasan itu adalah insurans berkelompok penerima tajaan PPBU YBR yang disediakan bagi setiap pelajar," katanya.

Berita Harian X