Jumaat, 16 September 2022 | 5:17pm
Gambar kenderaan milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang tular di media sosial kerana memotong barisan pada Isnin lalu. - Foto media sosial
Gambar kenderaan milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang tular di media sosial kerana memotong barisan pada Isnin lalu. - Foto media sosial

EXCO Johor mohon maaf, kereta potong barisan

JOHOR BAHRU: "Buat silap kena mengaku silap, saya mohon maaf," kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon yang mengakui kenderaan rasmi dinaikinya memotong barisan dalam kejadian pada Isnin lalu.

Tian Soon berkata, ketika kejadian dia menaiki kenderaan itu di bahagian penumpang, manakala kereta dipandu oleh pemandunya.

Katanya, kerana mahu mengejar masa pemandu itu memasuki lorong kecemasan berhampiran sebuah simpang untuk membelok di simpang berkenaan.

"Ketika kejadian, saya dalam perjalanan dari Yong Peng ke Batu Pahat. Dia (pemandu) terlewat dan mahu kejar masa.

"Dia keluar awal untuk membelok di simpang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tindakan sebuah kereta milik EXCO kerajaan negeri yang menggunakan laluan kecemasan ketika keadaan jalan sesak dipercayai di Tongkang Pechah di sini, pada Rabu lalu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna jalan raya.

Seorang pengguna jalan raya sempat merakamkan kejadian itu sebelum video berdurasi 24 saat berkenaan tular di media sosial.

Video terbabit memaparkan sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam meredah kesesakan lalu lintas di situ.

Difahamkan, polis Johor sudah dimaklumkan mengenai video yang tular dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri ditugaskan untuk menyiasat kejadian yang didakwa itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, mengesahkan kenderaan yang memotong barisan di Tongkang Pechah adalah kenderaan milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaannya kepada EXCO Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor.

"Siasatan dijalankan mendapati kesalahan berlaku jam 9.45 pagi Isnin lalu di Jalan Tongkang Pechah Batu Pahat.

"Hasil semakan mendapati, kenderaan itu milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon.

"Pemandu kenderaan dipanggil untuk siasatan jam 3.30 petang tadi dan dikenakan saman mengikut Rule 6(1) LN 166/59," katanya dalam siaran media hari ini.

Berita Harian X