Rabu, 14 September 2022 | 3:36pm
Akar umbi UMNO menolak rundingan dan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU-15. - Foto hiasan
Akar umbi UMNO menolak rundingan dan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU-15. - Foto hiasan

MKT disaran tutup pintu rundingan dengan PAS

KUALA TERENGGANU: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) disaran menutup pintu rundingan dengan PAS, berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Bahagian UMNO Besut, Datuk Nawi Mohamad, berkata MKT perlu akur dengan kehendak ahli di peringkat akar umbi, yang memutuskan supaya tiada sebarang kerjasama dengan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, kesediaan PAS menerusi Perikatan Nasional (PN) untuk berunding dalam menentukan hala tuju 27 kerusi Parlimen, yang dianggap kritikal bagi mengelakkan pertembungan membuktikan parti itu berada dalam keadaan terdesak.

"UMNO Bahagian Besut membantah sebarang bentuk kerjasama dan rundingan dengan PAS, yang juga parti gabungan PN.

"Perwakilan melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Mac lalu sudah membuat keputusan supaya tiada sebarang kerjasama serta rundingan dengan parti itu pada PRU akan datang dan pucuk pimpinan tertinggi parti perlu akur dengan kehendak itu," katanya.

Nawi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilaporkan berkata, parti itu bersedia berunding dengan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju 27 kerusi Parlimen terbabit bagi mengelakkan pertembungan.

Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dilaporkan berkata, selain kerusi di Selangor, terdapat beberapa kerusi negeri lain yang enggan didedahkannya terkandung dalam 27 kerusi itu, pernah dimenangi PAS dan UMNO, namun kini disandang Pakatan Harapan (PH) disebabkan pertembungan antara PAS dan BN pada PRU lalu.

Susulan kenyataan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, beliau tiada maklumat mengenai 27 kerusi itu sehingga UMNO mungkin perlu mengadakan kerjasama atau perbincangan dengan PAS.

Mengulas lanjut, Nawi berkata, UMNO sudah memutuskan untuk bertanding solo pada PRU akan datang.

"BN dan UMNO perlu meletakkan calon sendiri untuk bertanding di 27 kerusi Parlimen yang dikatakan kritikal itu, walaupun terpaksa bertanding tiga penjuru," katanya.

Berita Harian X