Sabtu, 27 Ogos 2022 | 11:47am

Siasatan kes kedai nasi ayam tular dijangka siap pertengahan September

BALIK PULAU: Siasatan kes peniaga nasi ayam di Sungai Ara di sini, yang didakwa mendapatkan bekalan makanan itu daripada peniaga bukan Islam untuk dijual kepada pelanggan Muslim, dijangka selesai pertengahan bulan depan.

Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd Hanif Omar @ Wahab, berkata siasatan kes berkenaan setakat ini hampir selesai dan dijangka siap selewat-lewatnya pertengahan September.

"Pada masa ini, siasatan masih diteruskan, termasuk bagi meneliti seksyen yang boleh digunakan dalam enakmen berkaitan sekiranya terdapat kesalahan mengikut syariah. Ini kerana tiada enakmen yang jelas berkaitan penjualan produk tidak halal kepada orang Islam.

"Cuma kita akan tengok seksyen lain dalam enakmen kesalahan jenayah dan itu akan diteliti pihak lain seperti pihak pendakwaan. Saya tidak cakap peniaga itu akan didakwa kerana siasatan masih diteruskan dan kita perlu lihat hasilnya," katanya ketika ditemui di sini.

Pada 15 Ogos lalu, media memetik Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak berkuasa agama Islam negeri ini menyiasat tindakan peniaga nasi ayam Islam yang dipercayai membeli makanan itu dari kedai bukan Islam.

Kata mufti, jika didapati peniaga itu kemudian menjual nasi ayam dibeli dari kedai bukan Islam kepada pelanggan Muslim, pelakunya perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Terdahulu, tular video memaparkan dua lelaki dipercayai Melayu datang ke sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong untuk mengambil pesanan nasi ayam dan dipercayai dijual kepada pelanggan di gerai mereka di Sungai Ara.

Susulan itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata JHEAIPP sudah turun padang bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai dakwaan itu.

Pemeriksaan JHEAIPP bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang kemudian mendapati jualan makanan itu tidak memiliki SPHM termasuk di cawangannya di Persiaran Gurney.

Pemeriksaan terhadap restoran nasi ayam dan itik bukan Islam di Paya Terubong juga mendapati premis berkenaan tidak memiliki SPHM.

Sementara itu, Mohd Hanif menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati sebelum membeli sebarang produk dan makanan yang dijual.

"Di Malaysia, jika peniaga sudah memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), pembeli tidak perlu ragu-ragu membelinya, namun jika tiada logo halal, pengguna perlu berwaspada.

"Hendak mohon sijil halal memang sukar kena perlu keluarkan kos berikutan ada proses tertentu. Ada peniaga kecil tidak mampu, tapi jika tiada logo halal, kita ada pilihan lain untuk cari yang halal. Orang awam perlu berhati-hati ," katanya lagi.

Laporan BH Online pada 15 Ogos lalu.
Laporan BH Online pada 15 Ogos lalu.
Berita Harian X