ALOR GAJAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah membuat pembayaran faedah berjumlah lebih RM319.4 juta kepada pencarum yang layak di seluruh negara sejak Januari hingga Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata jumlah itu membabitkan 252,188 kes daripada pelbagai kategori iaitu Faedah Hilang Upaya Sementara dan Kekal, Faedah Perubatan dan Orang Tanggungan, selain Faedah Pengurusan Jenazah.
"Jumlah pembayaran tertinggi setakat ini ialah faedah hilang upaya kekal iaitu RM128.3 juta membabitkan 9,957 kes, diikuti faedah hilang upaya sementara iaitu RM117.9 juta (197,576 kes).
"Justeru kita ingin mengingatkan semua majikan, untuk terus mencarum seperti ditetapkan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969," katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu beliau bersama Skuad PERKESO Prihatin menyerahkan faedah dan peralatan pemulihan kepada Orang Berinsurans (OB) Zulkipli Omar di Kelemak di sini, hari ini.
Zulkipli, 59, layak menerima Faedah Pencen Ilat berjumlah RM891.67 dan Elaun Layanan Sentiasa (ELS) berjumlah RM500, selain barangan keperluan lain seperti lampin pakai buang, tilam dan susu.
Beliau yang bekerja di sebuah syarikat di Melaka, kini terlantar di rumah selepas disahkan lumpuh separuh badan sejak Mei akibat penyakit diabetes, hipertensi dan darah tinggi dihidapinya.
Sementara itu, isterinya, Norhayati Mohd Nor, 59, berkata faedah bulanan yang diterima itu, sedikit sebanyak meringankan beban mereka sekeluarga.
"Syukur kerana suami saya yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat swasta mempunyai caruman, jika dulu saya tidak tahu, namun dua kali doktor yang merawat suami menyaran kepada saya untuk merujuk perkara ini dengan PERKESO," katanya. – BERNAMA