Rabu, 24 Ogos 2022 | 6:29pm

Najib gagal rayuan terakhir

KUALA LUMPUR: Semalam, satu lagi detik bersejarah tercatat apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Perdana Menteri keenam itu ditahan Pasukan Petugas Khas 1MDB, pada 3 Julai 2018 di kediamannya di Jalan Langgak Duta dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Sehari selepas itu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Najib kemudian membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan dan taruhan terakhirnya ke Mahkamah Persekutuan, namun gagal mengetepikan sabitan dan hukuman yang dihadapinya.

Berita Harian X