Selasa, 23 Ogos 2022 | 8:00pm
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulail berkenan menyampaikan cendera kenangan kepada Annuar Musa (kanan) selepas merasmikan Kompleks Jabatan Penyiaran Negeri Perlis sekali gus memperkenankan nama barunya iaitu Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra (Kompleks PUSPA), Kangar hari ini. - fotoBERNAMA
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulail berkenan menyampaikan cendera kenangan kepada Annuar Musa (kanan) selepas merasmikan Kompleks Jabatan Penyiaran Negeri Perlis sekali gus memperkenankan nama barunya iaitu Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra (Kompleks PUSPA), Kangar hari ini. - fotoBERNAMA

KKOM nilai semula kerangka perundangan jenayah 'scammer'

KANGAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) sedang menilai kerangka perundangan membabitkan jenayah penipuan dalam talian atau 'scammer' yang diguna pakai ketika ini dalam usaha membendung jenayah berkenaan yang kian berleluasa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata masalah keselamatan siber atau 'cyber security' terutama membabitkan perlakuan jenayah dalam talian seperti godam atau 'hacking', penipuan atau 'scam' dan kegiatan buli siber memerlukan kepada satu tindakan lebih tegas.

"Saya buat keputusan untuk memanggil semua ahli lembaga daripada empat agensi yang berkaitan hal ini dalam minggu hadapan untuk menemui dan bercakap sendiri dengan ahli lembaga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Cyber Security Malaysia (CSM) dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi.

"Ini adalah empat entiti di bawah kementerian yang saya rasakan perlu menggembleng tenaga dan melihat secara keseluruhan kerana kita mahu melihat satu pendekatan yang lebih proaktif dan berkesan," katanya selepas Majlis Perasmian Kompleks Jabatan Penyiaran Negeri Perlis yang diberi nama sebagai Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra, hari ini.

"Keselamatan siber atau cyber security ini tidak hanya menjadi tanggungjawab agensi di bawah KKOM malah sebenarnya sekuriti siber itu mempunyai badan induk yang bertanggungjawab terhadapnya iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan penyiasatan bagi jenayah ini pula dilakukan oleh polis.

"Oleh hal demikian, mengapa saya saya ingin bertemu agensi ini adalah berkongsi dengan mereka dan membuat gesaan supaya kita perlu cari beberapa pendekatan 'luar kotak'. Malah saya ingin dapatkan 'feedback' sama ada 'legal framework' sekarang ini memadai atau tidak.

"Selain perundangan, satu aspek lain adalah penggunaan teknologi yang boleh digunakan dan ketiga pula adalah kerjasama antara pelbagai agensi yang boleh diperkasakan," katanya.

Terdahulu, Annuar bersama Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid merasmikan Kompleks Penyiaran Negeri Perlis dan menamakannya sebagai Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra.

Berita Harian X