Ahad, 21 Ogos 2022 | 9:31pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada perasmian Simposium Keluarga Malaysia: Pencapian dan Harapan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaminkan doa selepas Solat Hajat yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra hari ini. - Foto BERNAMA

7,000 hadir Munajat Keluarga Malaysia rai setahun pentadbiran PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini menyertai lebih 7,000 jemaah di Masjid Putra, di sini bersempena program Munajat Keluarga Malaysia.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu diadakan bagi meraikan ulang tahun pertama pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri yang berbaju Melayu putih tiba di pekarangan masjid pada jam 8.20 malam dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Perdana Menteri kemudian menyertai jemaah menunaikan solat Isyak dengan sesi bacaan doa dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunaikan Solat Isyak pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunaikan Solat Isyak pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra hari ini. - Foto BERNAMA

Acara munajat yang dipimpin pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid itu juga disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan TV AlHijrah bermula jam 9 malam.

Munajat Keluarga Malaysia dijalankan serentak di lima lokasi selain di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, iaitu di Kedah, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaminkan doa selepas Solat Hajat yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaminkan doa selepas Solat Hajat yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra hari ini. - Foto BERNAMA

Pada program itu, Ismail Sabri turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pusat tahfiz, institusi pengajian pondok, premis kebajikan dan rumah anak yatim tertentu yang hadir menyertai acara itu.

Dengan tema Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia - Teguh Bersama, Munajat Keluarga Malaysia mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya.

Terdahulu, bermula jam 2.30 petang, pelbagai program berteraskan rakyat diadakan termasuk Souq Jualan Rakyat Keluarga Malaysia dengan potongan harga sebanyak 50 peratus. 

Pada program itu, kira-kira 600 individu asnaf menerima pelbagai barang keperluan harian termasuk ayam, beras, minyak masak dan telur.

Sementara itu Idris berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang genap setahun pentadbirannya hari ini sememangnya proaktif dalam membantu rakyat menerusi program berorientasikan rakyat.

Beliau berkata, dengan cabaran pandemik yang melanda negara, program turun padang giat dilaksanakan bagi menyantuni rakyat yang memerlukan.

"Alhamdulillah selepas setahun penekanan yang diberikan kebetulan waktu Ismail Sabri naik, pandemik masih lagi kemuncak maka seluruh agensi, kementerian diarahkan untuk memastikan supaya kita dapat menyantuni rakyat terutamanya golongan B40.

"Sebanyak 14 agensi di bawah saya turut menyahut seruan itu dan boleh katakan setiap minggu kita mengadakan program sumbangan yang merangkumi seluruh negara," katanya.

Berita Harian X