Ahad, 21 Ogos 2022 | 1:15pm
Presiden i-Guru Mohd Azizee Hasan. NSTP/Mohd Amin Jalil
Presiden i-Guru Mohd Azizee Hasan. NSTP/Mohd Amin Jalil

Projek hibrid: Guru gesa tingkatkan kemudahan internet di sekolah

SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat meningkatkan kemudahan akses internet dan kelajuan jalur lebar bagi memastikan projek rintis hibrid dapat dijayakan dengan lebih berkesan.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata KPM juga perlu menyediakan peruntukan kewangan yang besar, terutama bagi penyediaan peralatan pembelajaran seperti TV pintar, skrin layar dan alat peranti.

Selain itu, katanya, guru juga perlu mendapatkan latihan intensif dari segi penggunaan teknologi pembelajaran secara digital dengan memanfaatkan pelantar pendidikan seperti platform 'Delima' dan Google Education Learning.

"I-Guru menyambut baik projek rintis hibrid yang telah dilancarkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

"Kami yakin ia bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada guru dan murid dalam kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), tetapi juga mampu melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara.

"Projek ini dilihat bersesuaian dengan perkembangan semasa di peringkat global, terutama dalam era pembelajaran digital dan Revolusi Industri (IR) 5.0," katanya di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan KPM akan melaksanakan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan.

Radzi pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT itu, menjelaskan bahawa projek itu adalah sebahagian pelan transformasi KPM bagi memperkasa pendidikan digital negara.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, pihaknya menyambut projek berkenaan dan diharap dapat mempercepatkan perkongsian ilmu serta kemahiran, sekali gus mendedahkan murid untuk menggunakan aplikasi pembelajaran digital secara lebih berkesan.

"Kami berharap projek ini akan meningkatkan pengetahuan murid, kreativiti dan inovasi guru serta perkongsian pintar PdP antara sekolah-sekolah, sekali gus merapatkan jurang pendidikan dan digital," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap KPM dapat memastikan kelas yang kondusif dan interaktif dengan mengambil kira bilangan murid yang bersesuaian untuk sesi pengajaran.

Katanya, pihaknya juga berharap projek rintis ini dapat diperluaskan ke lain-lain sekolah dari sekolah sedia ada dan mengutamakan sekolah luar bandar dengan meningkatkan akses kemudahan dan internet.

Berita Harian X