Ahad, 21 Ogos 2022 | 12:42am
PPS dibuka di Kampung Laut Batu 10 Skudai, Johor bagi menempatkan 26 mangsa banjir, malam ini. - Foto FACEBOOK JPKK Kempas
PPS dibuka di Kampung Laut Batu 10 Skudai, Johor bagi menempatkan 26 mangsa banjir, malam ini. - Foto FACEBOOK JPKK Kempas

Banjir kilat, 1 PPS dibuka di Johor

JOHOR BAHRU: Seramai 26 penduduk daripada lapan keluarga di Kampung Laut Batu 10 di Skudai di sini, ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru dalam satu kenyataan memaklumkan, PPS Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 dibuka dan mula beroperasi jam 7.30 malam ini.

"Proses pemindahan mangsa dari lokasi banjir ke PPS sedang diusahakan dan laporan dari semasa ke semasa akan dikemas kini," katanya.

Terdahulu, beberapa kawasan di daerah ini dan Kulai dinaiki air berikutan hujan lebat kira-kira dua jam sejak 2 petang.

Antara kawasan terkesan ialah Kampung Jaya Sepakat dan Taman Aman di Kulai manakala di Johor Bahru ialah Kampung Maju Jaya dan Kampung Laut Batu 10, Skudai.

Setakat ini, hanya sebuah PPS dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas. – BERNAMA

Berita Harian X