Sabtu, 20 Ogos 2022 | 10:11pm
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul yang diuruskan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) hari ini.

Agong lawat lapangan terbang Sabiha Gokcen Istanbul

ISTANBUL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), di sini, yang dimiliki dan dikendalikan oleh Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB).

Sebaik keberangkatan tiba, Seri Paduka dipersembahkan taklimat mengenai operasi dan potensi pertumbuhan ISGIA oleh Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Pengarah Urusan, Datuk Iskandar Mizal.

Al-Sultan Abdullah kemudian melawat sekitar terminal penumpang lapangan terbang itu yang menjadi pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah.

Al-Sultan Abdullah melihat suasana di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul yang diuruskan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) hari ini. - Foto BERNAMA
Al-Sultan Abdullah melihat suasana di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul yang diuruskan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) hari ini. - Foto BERNAMA

Lapangan terbang yang mula beroperasi pada 2008 itu menjadi satu daripada simbol mercu tanda hubungan perniagaan Malaysia-Turkiye.

Pada 2021, jumlah penumpang lapangan terbang berkenaan mencecah 25 juta orang, iaitu 70 peratus daripada angka prapandemik COVID-19.

ISGIA turut disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua Eropah yang mencatat pemulihan paling pantas tahun lalu.

MAHB melabur kira-kira 500 juta Euro dalam projek ISGIA dan sedang meninjau lebih banyak projek sedemikian di Turkiye.

ISGIA adalah lapangan terbang kedua terbesar di Turkiye selain menjadi landasan tunggal paling sibuk di dunia dengan penerbangan ke 110 destinasi di 49 negara.

Pada 2021, ISGIA muncul sebagai lapangan terbang pertama dunia menggunakan sistem kawalan jauh inovatif bagi jejantas untuk kemudahan penumpang berlepas dan membolehkan proses berkaitan dilakukan dengan penggunaan kamera serta pengesan dengan ketepatan tinggi.

Al-Sultan Abdullah melawat masjid di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) hari ini yang juga dibina dan diselia oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). - Foto BERNAMA
Al-Sultan Abdullah melawat masjid di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) hari ini yang juga dibina dan diselia oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). - Foto BERNAMA

Al-Sultan Abdullah kemudian melawat masjid ISGIA yang juga dibina dan diselia oleh MAHB.

Turut hadir, Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal – BERNAMA

Berita Harian X