Sabtu, 20 Ogos 2022 | 7:42pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Silap beri ubat, Jabatan Kesihatan Sabah mohon maaf

LAHAD DATU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hari ini memohon maaf kepada keluarga pesakit yang diberi ubat salah oleh pegawainya ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Sahabat dekat sini, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata siasatan mendapati wujud kelemahan komunikasi antara pegawai perubatan dengan pesakit berkenaan.

"Pegawai perubatan terbabit melihat buku rawatan yang dibawa oleh pesakit ke Klinik Kesihatan Felda Sahabat, yang mana pesakit mempunyai rekod diberi ubat kencing manis.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesyaki buku rawatan dibawa pesakit bercampur dengan buku rawatan isterinya dan ini menimbulkan kekeliruan kepada pegawai perubatan berkenaan yang meneruskan pemberian ubat kencing manis kepada pesakit.

"Mengikut rekod, pesakit sebenarnya mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi dan pembengkakan kelenjar prostat," katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Rose Nani berkata, pegawai perubatan terbabit memberikan penerangan kepada pesakit dan keluarga mengenai status penyakit dihidapi serta jenis ubat diberi.

"Sekiranya proses penerangan dilaksanakan, sudah tentu kekeliruan dapat dielakkan," katanya.

Justeru, pihaknya akan memastikan pegawai perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman negeri itu mendapatkan latihan secara berkala berkaitan merawat pesakit termasuk komunikasi berkesan. – BERNAMA

Berita Harian X