Sabtu, 20 Ogos 2022 | 1:08pm
Ahmad Faizal Azumu. - Foto fail NSTP
Ahmad Faizal Azumu. - Foto fail NSTP

Hentikan serangan terhadap badan kehakiman

KUALA LUMPUR: Tindakan menyerang peribadi lima hakim Mahkamah Persekutuan yang terbabit dalam prosiding rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung berhubung sabitan bersalah kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd perlu dihentikan serta-merta.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata perbuatan itu bukan sahaja tidak beretika dan mengganggu badan kehakiman negara, malah serangan secara terbuka di media sosial itu mengundang persepsi negatif serta memalukan nama baik negara.

"Serangan peribadi terhadap hakim dan keluarga mereka dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang. Saya yakin, serangan ini sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara.

"Secara peribadi, saya berpandangan badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak kelmarin.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Tambun berkata, walaupun demokrasi tidak menghalang hak rakyat daripada bersuara dan memberi kritikan, namun ia tidak bererti mana-mana individu boleh melakukan serangan peribadi yang disulami dengan niat jahat untuk kepentingan pihak tertentu.

"Justeru, badan kehakiman seharusnya diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan demi kedaulatan undang-undang yang dijunjung.

"Setiap daripada rakyat negara ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan integriti institusi badan kehakiman sentiasa dipertahankan," katanya.

Berita Harian X