Jumaat, 19 Ogos 2022 | 5:02pm

'Jangan kata kamu tak bersedia untuk mengemukakan hujahan'

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sekali lagi tidak membenarkan permohonan peguam utama Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman bersalah yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu.

Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan kepada Khamis minggu depan sebelum prosiding rayuan berakhir, bagaimanapun ia ditolak oleh mahkamah.

Sejurus selepas Timbalan Pendakwaraya Kanan, Datuk V Sithambaram selesai dengan hujahan lisannya, Hisyam sekali lagi bangun memohon penangguhan hingga Khamis minggu hadapan.

Menurutnya, beliau perlu menghadiri satu lagi kes membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada minggu hadapan, namun alasan itu tidak diterima Tengku Maimun dan memberitahu bahawa prosiding bersambung Selasa ini.

Hisyam kemudian berkata beliau tidak akan mengemukakan sebarang hujahan sama ada secara lisan atau bertulis.

Tengku Maimun berkata, Hisyam tidak perlu memfailkan hujahan bertulis, sebaliknya boleh berhujah secara lisan sahaja.

"Kita tunggu Selasa ini," katanya.

Menegaskan bahawa mahkamah tidak akan membenarkan sebarang penangguhan, Tengku Maimun berkata pasukan pembelaan mempunyai masa selama tiga hari untuk bersedia dengan hujahan kes.

"Ia adalah kebebasan kamu untuk mengemukakan hujahan atau sebaliknya, kamu ada tiga hari untuk bersedia. Jangan kamu katakan kamu tidak bersedia untuk mengemukakan hujahan mengenai 94 alasan dalam petisyen rayuan kamu," katanya.

Sebelum ini tarikh perbicaraan rayuan utama membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu telah ditetapkan antara 15 hingga 16 Ogos ini, namun pada 15 dan 16 Ogos, mahkamah telah mendengar rayuan pembelaan untuk memasukkan bukti baharu, dan permohonan Hisyam untuk mengecualikan diri terlebih dahulu.

Terdahulu, dalam hujahan lisannya selama dua hari (18 dan 19 Ogos), Sithambaram telah menyentuh mengenai peranan Najib selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian menyebut bagaimana bekas Perdana Menteri itu tidak mempersoalkan kemasukan RM42 juta ke dalam dua akaun peribadinya, malah menggunakannya untuk tujuan peribadi.

Sithambaram kemudian berkata, Hakim Bicara (ketika ini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak membuat sebarang kesilapan dalam mensabitkan Najib terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International itu pada 28 Julai 2020.

Mohd Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Prosiding bersambung Selasa ini.

Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Foto - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia
Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Foto - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia
Berita Harian X