Khamis, 18 Ogos 2022 | 8:38am
Najib Razak keluar dari mahkamah selepas perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Najib Razak keluar dari mahkamah selepas perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Langsung: Hari penentuan rayuan terakhir sabitan kes SRC Najib

PUTRAJAYA: Hari ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada Isnin dan Selasa lalu panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mendengar dua permohonan dikemukakan pasukan pembelaan Najib.

Permohonan pertama membabitkan cubaan Najib untuk mengemukakan bukti baharu untuk mengaitkan latar belakang pembabitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan SRC.

Permohonan kedua pula adalah usaha pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan rayuan utama kes SRC untuk tempoh antara tiga hingga empat bulan atas alasan membolehkan pasukan pembelaan yang baharu dilantik Najib itu membuat persediaan.

Namun, kedua-dua permohonan terbabit ditolak sebulat suara oleh panel lima hakim yang bersidang termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ketika mengumumkan keputusan itu Tengku Maimun berkata mahkamah sudah empat kali mengingatkan bahawa ia tidak akan membenarkan prosiding ditangguhkan walaupun berlaku pertukaran peguam perayu.

Najib Razak hadir perbicaraan rayuan akhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Najib Razak hadir perbicaraan rayuan akhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Panel hakim membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati ia gagal untuk melihat bagaimana peranan Mohd Nazlan sebelum ini, selaku Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank, boleh memberi kesan kepada penemuannya dalam perbicaraan SRC.

Pada prosiding hari ini, pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam kanan, Hisyam Teh Poh Teik dijangka membuat penghujahan pertama, sebelum disusuli penghujahan balas oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk, V Sithambaram.

Pasukan pendakwaan turut disertai empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Donald Joseph Franklin; Sulaiman Kho, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.

Peguam yang mewakili Najib Razak, Datuk Hisyam Teh Poh Teik hadir sesi perbicaraan rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Peguam yang mewakili Najib Razak, Datuk Hisyam Teh Poh Teik hadir sesi perbicaraan rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Najib turut diwakili peguam bela yang juga bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiavaranam dan Hannah Kam Zhen Yi.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan peguam agar ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, Najib yang juga Menteri Kewangan, pernah menjadi Penasihat Emeritus SRC dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

8.10 pagi: Keadaan di perkarangan Istana Kehakiman, pagi ini, kelihatan lengang tanpa kehadiran penyokong, setakat ini. Kawalan keselamatan di sekitar Istana Kehakiman masih diperketat dengan pagar besi diletakkan di semua pintu keluar dan masuk mahkamah. Setakat ini, hanya petugas media yang dilihat berkumpul di hadapan perkarangan mahkamah.

8.14 pagi: Peguam utama Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Datuk Seri Najib Razak tiba di Istana Kehakiman bagi mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Kelihatan puluhan penyokong yang dipercayai dari Terengganu tiba dengan menaiki empat bas bagi memberi sokongan kepada Najib.
Kelihatan puluhan penyokong yang dipercayai dari Terengganu tiba dengan menaiki empat bas bagi memberi sokongan kepada Najib.

8.59 pagi: Kelihatan beberapa penyokong hadir bagi memberi sokongan kepada Najib dan menunggu ketibaan Ahli Parlimen Pekan itu.

9.00 pagi: Kelihatan puluhan penyokong yang dipercayai dari Terengganu tiba dengan menaiki empat bas bagi memberi sokongan kepada Najib dan menunggu ketibaan Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib ditemani tiga anak

9.10 pagi: Kenderaan yang membawa Najib dilihat tiba di Istana Kehakiman dengan diiringi polis dan pasukan pembelaan.

Najib, 69, ditemani dua anak lelaki dan perempuannya iaitu Norashman, Mohd Nizar dan Nooryana Najwa.

9.56 pagi: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan panel lima hakim pada pendengaran hari pertama rayuan Najib hari ini

Peguam bela Najib buat kejutan

Sebaik prosiding bermula, Hisyam Teh Poh Teik yang pada saat-saat akhir sekali lagi merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan, berkata beliau akan menarik diri jika penangguhan prosiding tidak dibenarkan.

"Ini akan menyedihkan buat saya kerana saya tidak pernah melakukan perkara ini sepanjang 45 tahun berkhidmat sebagai peguam," katanya.

Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak ada sebarang alasan untuk menyemak keputusan sebelum ini yang menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding itu.

Beliau berkata pada peringkat ini, mahkamah masih menganggap Hisyam sebagai peguam Najib sehinggalah beliau menarik diri mengikut prosedur dengan mengemukakan afidavit sokongan mengapa beliau mengambil tindakan sedemikian.

Tengku Maimun menyoal Hisyam sama ada beliau menyedari sebagai mahkamah tertinggi, ia ada bidang kuasa untuk memastikan bahawa operasi mahkamah dan sistem keadilan berjalan dengan sewajarnya.

Hisyam menjawab, beliau menyedarinya, oleh sebab itu beliau merayu panel memberikan kebenaran kepadanya masa yang munasabah untuk mengemukakan hujahan rayuan dengan teratur.

Tengku Maimun kemudian berkata, Hisyam memerlukan keizinan daripada mahkamah untuk menarik diri.

"Sehingga itu, selepas kamu mengemukakan permohonan dengan disertai afidavit sokongan, kamu masih peguam perayu dalam rekod (mahkamah). Kamu tidak boleh meninggalkan anak guam kamu dengan tidak diwakili. Kami yakin kamu boleh mengendalikan rayuan ini," katanya.

Bagaimanapun Hisyam tetap dengan pendiriannya bahawa beliau tidak bersedia jika penangguhan tidak dibenarkan.

Selepas ditanya Tengku Maimun apa yang berlaku kepada rayuan ini, Hisyam berkata; "Saya tidak tahu apa lagi hendak dicakapkan."

Mahkamah berhenti rehat sebelum membuat keputusan.

Permohonan peguam bela Najib tarik diri ditolak mahkamah

11.58 pagi: Panel Hakim Mahkamah Persekutuan kembali bersidang dan menolak permohonan peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh, untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, kemudian mengarahkan prosiding rayuan akhir dimulakan dengan pihak pendakwaan terlebih dahulu mengemukakan hujahan.

Panel hakim (dari kiri) Tun Tengku Maimun Tuan Mat (Ketua Hakim Negara), Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (Hakim Besar Sabah dan Sarawak), Datuk Nallini Pathmanathan (Hakim Mahkamah Persekutuan). Bawah kiri: Datuk Mary Lim Thiam Suan (Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah (Hakim Mahkamah Persekutuan).
Panel hakim (dari kiri) Tun Tengku Maimun Tuan Mat (Ketua Hakim Negara), Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (Hakim Besar Sabah dan Sarawak), Datuk Nallini Pathmanathan (Hakim Mahkamah Persekutuan). Bawah kiri: Datuk Mary Lim Thiam Suan (Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah (Hakim Mahkamah Persekutuan).

Barisan peguam Datuk Seri Najib (dari kiri) Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiavaranam dan Hannah Kam Zhen Yi.
Barisan peguam Datuk Seri Najib (dari kiri) Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiavaranam dan Hannah Kam Zhen Yi.

Berita Harian X