Rabu, 17 Ogos 2022 | 12:56pm
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Datuk Aziz Mohammed, (dua kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Md Silmi Abd Rahman, (dua kanan) di majlis menandatangani memorandum kolaborasi di Menara PERKESO hari ini. - Foto FATHIL ASRI
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Datuk Aziz Mohammed, (dua kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Md Silmi Abd Rahman, (dua kanan) di majlis menandatangani memorandum kolaborasi di Menara PERKESO hari ini. - Foto FATHIL ASRI

Kolaborasi PERKESO, TERAJU pastikan usahawan Bumiputera dilindungi

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), hari ini, menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) untuk memastikan usahawan Bumiputera dilindungi dengan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, wujud keperluan tinggi untuk memastikan perlindungan itu terutama selepas dua tahun kebelakangan tempoh yang mencabar seperti COVID-19.

Beliau berkata, penularan pandemik itu menyebabkan ramai usahawan yang terpaksa gulung tikar, bahkan ramai juga yang hilang punca pendapatan..

"Impak sosio-ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19 sesungguhnya membuka mata kita, betapa perlindungan sosial di Malaysia masih berada di tahap yang minimum berbanding di negara maju yang lain.

"Sehubungan itu, sebagai peneraju dalam perlindungan sosial di negara ini, kita komited memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia termasuklah golongan usahawan Bumiputera di bawah TERAJU dapat dilindungi dengan skim perlindungan dan program di bawah Perkeso," katanya dalam ucapan pada majlis MoC berkenaan di Menara PERKESO, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Md Silmi Abd Rahman, Pengarah Penciptaan Kekayaan, Modal Insan dan Penyampaian Perkhidmatan TERAJU, Mohd Najib Jaafar, Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO, John Riba Marin serta Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi PERKESO, Ismail Abi Hashim.

Mohammed Azman berkata, termeterainya MoC itu akan mengukuhkan lagi kerjasama strategik khususnya antara PERKESO dan TERAJU sekali gus untuk manfaat Keluarga Malaysia.

"Tidak dinafikan, peranan yang dimainkan oleh TERAJU untuk memacu penyertaan Bumiputera dalam industri strategik yang berimpak tinggi adalah sangat penting untuk pembangunan ekonomi dan sosial negara.

"Dengan peningkatan penguasaan usahawan Bumiputera dalam ekonomi negara, ia dapat membantu merealisasikan visi Keluarga Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berstatus maju dan berpendapatan tinggi yang secara langsung mewujudkan keperluan tinggi bagi melindungi usahawan Bumiputera ini dengan jaringan sosial komprehensif," katanya.

Beliau berkata, pemeteraian kolaborasi pada hari ini menyaksikan PERKESO dan TERAJU bekerjasama dalam beberapa bidang termasuklah menerusi pelaksanaan Program Social Synergy.

Katanya, program itu adalah antara inisiatif murni PERKESO bagi membantu menyelesaikan permasalahan sosio ekonomi dan isu kebajikan rakyat Malaysia dengan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

"Sehingga kini, terdapat lebih 300 rakan strategik yang menyertai gagasan Social Synergy. Mereka terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat.

"Alhamdulillah, hampir 13,000 kes membabitkan individu yang memerlukan bantuan telah disalurkan kepada agensi-agensi yang bernaung di bawah program ini di bawah platform perkongsian data Sistem MySynergy, sejak tahun 2019," katanya.

Justeru, katanya, pihak PERKESO percaya penyertaan TERAJU sebagai rakan strategik dalam Program Social Synergy akan memberikan nilai tambah dan memperkukuh lagi jaringan keselamatan sosial di Malaysia.

"Kerjasama yang terjalin ini juga secara tidak langsung memberi pendedahan dan melatih anggota Teraju untuk juga menjadi seorang 'social security

practitioners'.

"Pengetahuan dan kebolehan yang diperoleh bukan sahaja merangkumi aspek perlindungan sosial, malah turut meliputi aspek kebajikan, pekerjaan, kewangan, perniagaan dan sebagainya," katanya.

Selain itu, beliau berkata, PERKESO juga berhasrat membantu mana-mana usahawan Bumiputera yang layak di bawah Teraju menyertai pelbagai program PERKESO di bawah Bajet 2022, seperti Program Jamin Kerja, Insentif Penggajian dan SPS Padanan Caruman.

Berita Harian X