Selasa, 16 Ogos 2022 | 1:19pm
Nancy (kanan) melepaskan peserta program 10,000 Langkah Semangat Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat kementerian di pekarangan MOTAC, Putrajaya, hari ini. NSTP/Samadi Ahmad
Nancy (kanan) melepaskan peserta program 10,000 Langkah Semangat Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat kementerian di pekarangan MOTAC, Putrajaya, hari ini. NSTP/Samadi Ahmad

Lambakan jemaah umrah di luar bidang kuasa MOTAC

PUTRAJAYA: Lambakan jemaah umrah ketika ini dalam kalangan mereka yang menggunakan visa pelancongan untuk ke tanah suci adalah di luar bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata MOTAC sememangnya mengenakan terma dan syarat terhadap syarikat yang berdaftar dengan kementerian itu untuk membolehkannya beroperasi membawa jemaah umrah.

Berikutan itu, katanya, tindakan boleh dikenakan sekiranya syarikat pengendali pakej umrah yang berdaftar dengan MOTAC didapati melanggar syarat yang ditetapkan.

"Individu yang memilih mengerjakan ibadah umrah menggunakan visa pelancongan adalah di luar bidang kuasa kementerian dan mereka boleh membuat pilihan sendiri," katanya kepada pemberita pada program 10,000 Langkah Semangat Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Kementeriannya di pekarangan MOTAC di sini, hari ini.

Nancy berkata, baru-baru ini Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan umat Islam yang memperoleh visa pelancong dan visa komersial dibenarkan menunaikan ibadah umrah di Makkah ketika berada di negara itu.

Katanya, kebenaran baharu itu membuatkan ramai individu menunaikan umrah secara sendiri dan di luar pengetahuan pihaknya.

"Sekiranya mereka menggunakan perkhidmatan syarikat umrah, pergerakan jemaah mudah untuk dipantau termasuk mengesan syarikat yang bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang insiden," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, antara 20,000 hingga 30,000 bakal jemaah umrah yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci bulan ini, terpaksa menangguhkan perjalanan berikutan jumlah penerbangan harian ke Arab Saudi ketika ini menyusut dengan ketara.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, dilaporkan berkata, situasi itu sudah dijangka memandangkan kebanyakan syarikat penerbangan belum beroperasi sepenuhnya sebagaimana fasa sebelum pandemik COVID-19.

Berita Harian X