Selasa, 16 Ogos 2022 | 10:56am
Ismail Sabri menyampaikan amanat kepada warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada majlis perjumpaan di Dataran Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan amanat kepada warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada majlis perjumpaan di Dataran Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

'Penjawat awam perlu pertahan kerajaan daripada dakwaan fitnah'

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbirannya gagal.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia dan kakitangan awam perlu turut membantunya ke arah kejayaan negara dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan bukannya mempertahankan parti politik.

Katanya, pencapaian cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, selain mewujudkan pekerjaan mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion antara kejayaan dikecapi kerajaan.

"Apabila tuan puan mempertahankan kerajaan, tuan puan tidak berpolitik. Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik, tetapi sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.

"Kerajaan ini adalah kerajaan bersama, sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysian sebab saya nak kita bersama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga," katanya pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Perjumpaan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ismail Sabri berkata, beliau mahu penjawat awam bekerja sebagai satu keluarga dan tidak bekerja dengan budaya silo.

"Saya tak mahu isu lama bekerja dalam keadaan silo. Kita mesti bekerja bersama, kita ada tanggungjawab bersama, tak boleh bergerak secara silo lagi tetapi mesti bekerja secara keluarga kerana cara silo sebenarnya akan menyebabkan kegagalan kepada sesuatu tindakan atau perancangan," katanya.

Bagi membolehkan ekonomi negara bertambah baik, Ismail Sabri mahu penjawat awam mengurangkan kerenah birokrasi terhadap pelabur memandangkan ia sering dibangkitkan kumpulan itu ketika beliau mengadakan lawatan ke luar negara.

"Banyak kementerian terbabit dalam perkara sama dan akhirnya menyebabkan kelewatan. Bagi pelabur, peniaga, masa adalah sangat penting. Lewat kelulusan akan menyebabkan kerugian pada mereka.

Kerajaan juga sudah bersetuju mewujudkan unit #MyMudah bagi menangani isu birokrasi. Unit ini akan ditubuhkan di semua kementerian dan agensi Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara," katanya.

Mengimbau kejayaan kerajaan merintis kerjasama dengan pembangkang menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Ismail Sabri berkata, ia bagi membolehkan kerajaan menumpukan kepada perkara besar seperti kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

Malah menerusi MoU itu, katanya, Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti berjaya diluluskan meskipun ia hangat dibahaskan di Parlimen.

"Dari sudut ekonomi kita sudah berjaya, RUU Anti Lompat Parti juga sudah lulus 100 peratus oleh Ahli Dewan dan kita akan memperkenalkan RUU undang Pendanaan Politik," katanya.

Mengulas pengasingan kuasa, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Beliau mengiktiraf kejayaan kerajaan hari ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan semua penjawat awam.

"Teruskan kerja baik untuk membantu kerajaan menyelesaikan segala masalah untuk kepentingan rakyat," katanya. -- BERNAMA

Berita Harian X