Isnin, 15 Ogos 2022 | 5:54pm
Peguam Hisyam Teh Poh Teik mengadakan sidang media selepas selesai prosiding hari ini bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Peguam Hisyam Teh Poh Teik mengadakan sidang media selepas selesai prosiding hari ini bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Kami yakin dengan kebijaksanaan hakim'

PUTRAJAYA: Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang baru dilantik sebagai peguam utama Datuk Seri Najib Razak, yakin dengan hujah pembelaan dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Ditemui di lobi Istana Kehakiman sebaik selesai prosiding kira-kira jam 4 petang, Hisyam berkata, pihaknya sudah meneliti hujahan pembelaan beberapa kali, selain membuat kajian yang teliti.

Ditanya sama ada beliau yakin pembelaan akan mendapat apa yang diinginkan esok, Hisyam menjawab: "Ya. Kami percaya dengan kebijaksanaan hakim yang mendengar rayuan ini."

Sementara itu, Hisyam berkata, antara kesukaran yang dihadapi pembelaan sepanjang dilantik mewakili Najib adalah masa.

Bagaimanapun, pihaknya berjaya mengatasi masalah itu dan berfikir secara bersama.

Najib dan pasukan peguamnya daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, dilaporkan bakal mengemukakan kekhilafan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta tindakan pendakwaan yang menafikan hak mengikut Perlembagaan Persekutuan, yang dianggap menyebabkan ketidakadilan serius apabila bekas Perdana Menteri itu mendakwa gagal mendapatkan perbicaraan adil dan saksama.

Berdepan peluang terakhir mempertahankan diri, perkara itu akan dibentangkan Najib melalui peguamnya, bersandarkan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada tujuh tuduhan menyeleweng dana SRC.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan sembilan hari, mulai hari ini untuk mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu.

Berita Harian X