Sabtu, 13 Ogos 2022 | 6:20pm

RM200 juta bina 173 PEDi tambahan di seluruh negara

KOTA BHARU: Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi pembinaan tambahan 173 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara yang dijangka siap tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata setakat ini terdapat 911 PEDi di seluruh negara beroperasi dengan menyediakan capaian internet, selain kemahiran asas digital kepada masyarakat setempat terutama di kawasan luar bandar.

Katanya, tambahan pembinaan PEDi itu dapat merealisasikan hasrat pihaknya untuk menjadikan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memiliki sekurang-kurangnya satu pusat internet komuniti berkenaan.

"Setakat ini pihak kami merekodkan lebih 1.2 juta pengguna di seluruh negara menerima manfaat daripada PEDi. Jadi, penambahan PEDi ini kelak dapat memperluaskan lagi capaian internet kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

"Selain menyediakan kemudahan capaian internet, kami juga akan mewujudkan peranti internet yang dapat membolehkan komuniti membawanya pulang ke rumah. Fungsinya akan lebih tersebar luas, selain kemudahan rangkaian internet kawasan setempat tanpa wayar (WiFi) juga akan diperluaskan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Kelantan, Abd Mubin Mohd Zain.

Mengulas watikah pelantikan itu, Annuar berkata, pihaknya melantik secara rasmi lebih 900 orang sebagai Pengerusi PEDi bagi memastikan trasformasi PEDi dapat dilaksanakan.

"Antara perkara penting adalah memastikan PEDi dapat menyusun program secara aktif selain membolehkan MCMC dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) secara bersama menyampaikan program yang boleh menggalakkan usahawan muda yang berada di luar bandar untuk menjadi peserta dan memahami ekonomi digital.

"Kami harap inisiatif ini dapat membuka ruang kepada golongan muda menceburi bidang perniagaan menggunakan kemudahan yang ada di platform e-dagang dan kemudahan lain berkaitan dengan galakan ekonomi digital yang kementerian sedang lakukan," katanya. – BERNAMA

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa
Berita Harian X