Sabtu, 13 Ogos 2022 | 5:27pm
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto fail
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto fail

Jangan tambah beban rakyat dengan naikkan lagi OPR - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) digesa tidak lagi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diuar-uar akan dilaksana sekali lagi pada bulan depan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika membuat gesaan itu, berkata kenaikan OPR bukan sahaja menambah bebanan peminjam, malah tidak menyumbang kepada penurunan kadar inflasi.

Katanya, oleh kerana hutang isi rumah berbanding nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kini pada paras hampir 90 peratus berbanding Singapura (69.7 peratus), Indonesia (17.2 peratus) dan Filipina 9.9 peratus), setiap tingkat kenaikan OPR akan lebih membebankan peminjam.

"Ia akan membebankan peminjam di Malaysia berbanding negara serantau. Dari segi teori, alasan kenapa OPR dinaikkan adalah untuk menurunkan kadar inflasi dengan cara memperlahankan aktiviti ekonomi, iaitu mencetuskan 'mild recession'.

"Dengan menaikkan OPR, sebagaimana teori monetari konvensional, BNM berharap sektor perniagaan akan mengurangkan pelaburan dan sektor isi rumah akan mengurangkan perbelanjaan di samping meningkatkan kadar simpanan.

"Bagaimanapun, dengan tingkat kadar hutang sektor isi rumah di negara kita yang tinggi, maka kenaikan kadar bunga hanya akan mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui pertambahan pembayaran balik pinjaman, bukan menerusi peningkatan kadar tabungan," katanya.

Dalam kenyataan dimuatnaik di Facebooknya hari ini, Asyraf Wajdi berpandangan kenaikan OPR secara berterusan tidak akan berjaya menurunkan kadar inflasi.

Katanya, ia jelas terbukti apabila Amerika Syarikat (AS) sendiri gagal menangani masalah inflasi yang jauh lebih tinggi di negara itu walaupun kadar faedah dinaikkan.

"Bagi usaha mengawal inflasi, tindakan kerajaan tidak meningkatkan harga bahan api serta mengekalkan tarif elektrik terbukti lebih berjaya daripada naik terlalu tinggi seperti yang berlaku di negara lain. Kejayaan ini tidak ada kena mengena dengan peningkatan OPR.

"Dalam keadaan ekonomi domestik negara kita masih belum pulih sepenuhnya, tambahan bebanan kewangan ke atas peminjam akibat kenaikan OPR kemungkinan besar akan menjerumuskan lebih ramai kepada masalah insolvensi.

"Bukan itu saja, pengurangan tingkat perbelanjaan dalam ekonomi yang diharapkan kesan kenaikan OPR akan turut mengganggu proses pemulihan ekonomi domestik pasca COVID-19 yang sedang direncanakan," katanya.

Beliau berkata, kenaikan OPR hanya akan memberi kelebihan kepada sektor perbankan, manakala sektor perniagaan lain, terutama perusahaan kecil dan sederhana (SME) masih terjejas, termasuklah sektor pekerjaan yang tidak menentu.

"Maka tidak adil untuk sektor perbankan membuat keuntungan besar. Keuntungan besar bakal diperoleh sektor perbankan akibat kenaikan OPR ini tiada kena mengena dengan usaha produktif sektor itu, sebaliknya keuntungan terpijak akibat perubahan Dasar Monetari dibuat BNM," katanya.

Katanya lagi, lebihan keuntungan didapati secara tidak produktif seperti itu wajar dikategorikan sebagai 'rentier income' kerana ia bukan saja tidak menyumbang apa-apa kepada pertumbuhan produktiviti, malah boleh mengganggu proses pemulihan ekonomi.

Pada 6 Julai lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat memutuskan untuk menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan, iaitu sebanyak 25 mata asas (bps) atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.

Penyelidik kewangan menjangka normalisasi dasar seterusnya dilaksanakan pada mesyuarat MPC pada September depan dengan satu lagi kenaikan 25 bps.

Berita Harian X