Sabtu, 13 Ogos 2022 | 4:56pm
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Transformasi Komuniti dan Dakwah Islam kepada Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-37, hari ini. - Foto BERNAMA
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Transformasi Komuniti dan Dakwah Islam kepada Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-37, hari ini. - Foto BERNAMA

Pimpin dunia berpandukan ilmu - Raja Permaisuri Agong

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-37, hari ini.

Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, dalam titah baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan UIAM dan penerima anugerah.

"Ketika anda memulakan perjalanan baharu, peganglah nilai-nilai yang anda peroleh dari UIAM, sebuah institusi yang bermatlamat untuk melahirkan individu sejahtera, memiliki kualiti luar biasa, memimpin dunia berpandukan ilmu dan empati, membawa rahmat kepada semua.

"Beta amat berharap institusi ini membentuk anda menjadi seorang yang khair, cendekiawan yang termaju dalam setiap disiplin ilmu, menawarkan penyelesaian dan kejayaan. Beta mendoakan yang terbaik dalam usaha seterusnya," titah baginda.

Tunku Azizah turut menzahirkan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri Jepun, mendiang Shinzo Abe iaitu penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi Politik pada majlis Konvokesyen UIAM ke-36.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bertitah pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-37, hari ini. - Foto BERNAMA
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bertitah pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-37, hari ini. - Foto BERNAMA

Pada majlis itu, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh, menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Transformasi Komuniti dan Dakwah Islam atas sumbangan jasa dan bakti terhadap pembangunan komuniti terutama di daerah Gombak.

Bekas pesara kerajaan yang juga penasihat dan patron untuk 46 masjid serta 275 surau di daerah itu, adalah antara 127 graduan doktor falsafah diraikan pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UIAM, semalam.

Wan Mahmood, 92, yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor, Penasihat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dari 1983 hingga kini menerima skrol ijazah kehormat itu daripada Tunku Azizah.

Selain beliau, Allahyarham Dr Robert Dickson Crane atau nama Islamnya Faruq Abs Al Haqq menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Dialog Peradaban pada majlis berkenaan.

Menurut kenyataan UIAM, Crane meninggal dunia pada 12 Disember tahun lalu pada usia 92 tahun dan diiktiraf sebagai seorang daripada 500 orang berpengaruh Tokoh Islam Dunia bagi kategori Hal Ehwal Pentadbiran Agama 2020 dan aktivis Islam yang banyak memberikan sumbangan terutama di Amerika Syarikat.

Sementara itu, Health Action International Asia-Pacific (HAIAP) menerima Anugerah Ibnu Khaldun Merit Award for Global Social Transformation atas sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) itu kepada masyarakat di peringkat global.

HAIAP bertindak sebagai aktivis ke arah meningkatkan kesedaran kepada akses dan ubat-ubatan dalam bidang farmasi melalui kecemerlangan penyelidikan, advokasi, pendidikan dan kempen. – BERNAMA

Berita Harian X