Sabtu, 13 Ogos 2022 | 3:05pm

'Emak nak balik, tapi tak mampu jelmakan diri'

BATU PAHAT: "Emak nak balik, tapi tak mampu jelmakan diri di dunia nyata," kata Sadiah Mohari, mengenai kehilangan ibunya, Painah Siwan, 79, yang masuk hari ketiga hari ini.

Painah gagal dikesan selepas dikatakan ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang, Senggarang, di sini, kira-kira jam 3.30 petang Rabu lalu.

Sadiah, 42, anak ketiga daripada sembilan beradik, berkata mereka sekeluarga buntu kerana Painah masih tidak ditemui walaupun pelbagai usaha dibuat, termasuk bantuan mencari dan menyelamat daripada pihak berkuasa.

Sadiah Mohari. - NSTP/Essa Abu Yamin
Sadiah Mohari. - NSTP/Essa Abu Yamin

"Ada juga pihak arif agama datang membantu dan memberitahu, emak selamat di alam ghaib, masih ada sekitar kawasan ini. Dia mahu balik tapi tak mampu menjelmakan dirinya di dunia nyata.

"Kami sekeluarga sudah solat hajat, semoga ada keajaiban dan emak pulang dalam keadaan selamat," katanya menambah mereka reda dengan ketentuan Allah SWT.

Ketika ditemui hari ini, Sadiah berkata, keluarga berharap wanita itu pulang dalam keadaan selamat.

"Sekitar jam 3 petang hari kejadian, saya balik ke rumah selepas selesai kerja di luar dan sempat berbual dengan emak. Kira-kira sejam kemudian, selepas menguruskan diri dan berehat, saya sedar emak sudah tiada di rumah.

"Ketika itu saya hanya terfikir kemungkinan dia keluar ke kebun berhampiran. Hampir senja, emak tetap tidak balik lalu saya bersama adik keluar mencari di kebun berhampiran dan sekitar kawasan kampung," katanya ketika ditemui hari ini.

Painah Siwan.
Painah Siwan.

Sadiah berkata, kebiasaannya, ibunya ke kebun untuk mencari sisa daun kelapa sawit yang sudah dibuang pekebun untuk dijadikan penyapu lidi dan akan pulang selepas itu.

Semalam, katanya, pihak berkuasa ada menemui kesan leraian sisa daun kelapa sawit yang dicarik-carik di sekitar kawasan pencarian, tetapi masih tidak berjaya menemui ibunya sehingga hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari kedua dan ketiga dengan 187 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi, tetapi tetap gagal menemui mangsa.

"Khidmat unit anjing pengesan (K9) polis turut digunakan, selain bantuan bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta penduduk setempat. Hari ini, operasi mencari mangsa diperluaskan," katanya.

Anggota Pihak Berkuasa Menyertai Operasi Mencari Painah Di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor. - NSTP/Essa Abu Yamin
Anggota Pihak Berkuasa Menyertai Operasi Mencari Painah Di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor. - NSTP/Essa Abu Yamin

Ahli Keluarga, Penduduk Kampung Dan Anggota Pihak Berkuasa Menyertai Operasi Mencari Painah Di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor. - NSTP/Essa Abu Yamin
Ahli Keluarga, Penduduk Kampung Dan Anggota Pihak Berkuasa Menyertai Operasi Mencari Painah Di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor. - NSTP/Essa Abu Yamin
Berita Harian X