Jumaat, 12 Ogos 2022 | 7:47pm
Wanita berusia 33 tahun ditemukan terbaring di parkir bertingkat selepas terjatuh dari tingkat 19 pangsapuri dekat Sungai Ara di sini. NSTP/ FOTO IHSAN JBPM
Wanita berusia 33 tahun ditemukan terbaring di parkir bertingkat selepas terjatuh dari tingkat 19 pangsapuri dekat Sungai Ara di sini. NSTP/ FOTO IHSAN JBPM

Wanita peluk kitab, cedera terjatuh dari tingkat 19

GEORGETOWN: Berpantang maut sebelum ajal, begitu keadaan seorang wanita berusia 33 tahun apabila hanya mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat 19 sebuah pangsapuri dekat Sungai Ara, di sini, hari ini.

Mangsa yang juga penghuni kediaman terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd Awis Kharni Abd Rahman, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengahari.

Katanya, anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Ketika tiba di lokasi, mangsa dilihat terbaring di lantai dan mengalami kecederaan.

"Anggota bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi rawatan awal, sebelum mangsa dibawa ke HPP bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian itu, mangsa yang memegang kitab ditemukan terbaring oleh orang awam di bahagian parkir bertingkat pangsapuri berkenaan.

Berita Harian X