Jumaat, 12 Ogos 2022 | 3:03pm
Ketua Wanita Muda Nasional Parti Bangsa Malaysia (PBM), Munira Abu Bakar. - Foto PBM
Ketua Wanita Muda Nasional Parti Bangsa Malaysia (PBM), Munira Abu Bakar. - Foto PBM

Syor gubal undang-undang buli siber, bela nasib mangsa - PBM

SHAH ALAM: Kerajaan digesa segera menggubal undang-undang berkaitan buli siber yang dilihat semakin meruncing, selain menyediakan platform khusus yang membolehkan mangsa kes terbabit mendapatkan bantuan.

Gesaan itu susulan kes seorang wanita pemilik akaun TikTok popular ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya di Subang Jaya, dekat sini, sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital pada 6 Ogos lalu, dipercayai menjadi mangsa buli siber.

Ketua Wanita Muda Nasional Parti Bangsa Malaysia (PBM), Munira Abu Bakar, berkata berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Malaysia menduduki tempat kedua di Asia untuk kes buli siber dalam kalangan belia pada 2020.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula dilaporkan menerima 6,598 aduan awam berhubung gangguan dalam talian dari tahun 2020 hingga Julai 2021.

"Statistik ini amat mengejutkan. Kita percaya banyak lagi kes buli siber di Malaysia tidak dilaporkan. Selain kehilangan nyawa, ramai belia terpaksa menanggung trauma psikologi dan emosi akibat kelakuan dalam talian yang melulu dan tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan tidak seharusnya mengetepikan masalah yang kian meruncing ini kerana belia hari ini adalah masa depan negara. Mereka tidak sepatutnya membesar dalam persekitaran toksik di mana mereka boleh mengalami gangguan dalam talian yang biadap kerana ini membantutkan pertumbuhan rohani dan sahsiah mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Munira turut berpandangan bahawa undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan tidak mencukupi untuk menangani masalah buli siber.

"Justeru, kerajaan perlu menggubal undang-undang khusus untuk menghantar mesej jelas bahawa perlakuan itu bukan sahaja tidak boleh diterima, malah pelakunya akan dikenakan tindakan undang-undang yang keras.

Mengikut akta dikuatkuasakan di Singapura katanya, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga S$5,000 (RM16,223) dan/atau hukuman penjara sehingga enam bulan, malah hukuman maksimum itu digandakan untuk pesalah berulang.

"Selain memperkenalkan undang-undang baharu, kerajaan juga harus menyediakan platform untuk mangsa buli siber mendapatkan bantuan. Ini termasuk talian 'hotline' buli siber nasional 24 jam yang dikendalikan oleh profesional terlatih.

"Mangsa juga patut mempunyai akses mudah kepada kaunselor untuk sesi bersemuka serta diajar etika dalam talian dan cara bertindak balas apabila berdepan dengan pembuli dalam talian.

"Langkah ini boleh membantu mengurangkan masalah buli siber di negara ini dan menjadikan belia Malaysia membesar dalam persekitaran yang lebih kondusif demi masa hadapan mereka," katanya.

Merujuk kes di Subang Jaya katanya, PBM amat kesal dengan kejadian berkenaan dan mengucapkan takziah kepada keluarga wanita terbabit.

"Tragedi membabitkan ibu kepada tiga anak ini adalah satu peringatan mengenai pentingnya Malaysia mempunyai undang-undang khusus untuk menangani buli siber.

Media sebelum ini melaporkan, hasil pemeriksaan polis di kediaman wanita berusia 44 tahun itu yang tinggal bersama suami dan anak mereka, tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Bagaimanapun, satu portal berita melaporkan mangsa dikatakan menerima komen kebencian bertalu-talu berunsur buli siber di akaun TikTok berhubung penampilan dan koleksi beg tangannya.

Berita Harian X