Khamis, 11 Ogos 2022 | 4:47pm
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto fail NSTP
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto fail NSTP

Keputusan bantahan terhadap permohonan Rosmah, 30 Ogos ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 30 Ogos ini untuk keputusan bantahan awal yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan baharu Datin Seri Rosmah Mansor untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dan membatalkan keseluruhan prosiding yang berlangsung sejak 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili AGC dan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader serta Datuk Jagjit Singh, yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, Shamsul berhujah, permohonan itu adalah adalah remeh dan menyusahkan, memandangkan sudah terdapat penghakiman yang menyatakan bahawa pelantikan Sri Ram adalah sah.

"Rayuan terhadap keputusan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan cubaan untuk mendengar rayuan itu di Mahkamah Persekutuan, gagal.

"Permohonan ini juga adalah penyalahgunaan kuasa mahkamah kerana ia mahu mencabar dalam prosiding sivil, perkara yang sudah diputuskan dalam prosiding jenayah," katanya.

Sementara itu, Akberdin berhujah supaya permohonan Rosmah dibenarkan kerana anak guamnya mempunyai kes untuk dibangkitkan dalam semakan kehakiman atas alasan pelantikan Sri Ram tidak sempurna.

Jagjit pula berhujah, permohonan itu bukan difailkan melebihi tempoh kerana isu bagi mencabar pelantikan Sri Ram di mahkamah sivil dibangkitkan oleh Mahkamah Persekutuan ketika menyampaikan keputusan pada 27 Mei lalu, iaitu masih dalam tempoh tiga bulan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 Jun lalu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Sebelum ini, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini.

Bagaimanapun, permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan terbarunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

Beliau memohon pengisytiharan fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pada 8 Julai 2020, yang sepatutnya ditandatangani Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas pemohon adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Pemohon memohon deklarasi bahawa fiat versi kedua bertarikh 11 Mei 2021 adalah tidak wujud memandangkan Thomas dalam bukunya - 'My Story: Justice in Wilderness', yang diterbitkan pada 2021 menyatakan pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya kes solar, selain memohon deklarasi bahawa pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu melalui fiat versi ketiga adalah cacat.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh bagi kes solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah dan terbatal.

"Oleh itu, saya selaku orang kena tuduh (OKT) perlu dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dihadapi mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dalam kes solar itu," katanya.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Mahkamah Tinggi menetapkan 1 September ini bagi keputusan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Berita Harian X