Khamis, 11 Ogos 2022 | 3:40pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Cadangan kadar lantai bagi upah hantar, ambil barang untuk p-hailing

KUALA LUMPUR: Pelan penambahbaikan ekosistem ekonomi gig p-hailing diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini yang antara lain mengandungi cadangan penetapan harga lantai bagi upah pengambilan dan penghantaran.

Pelan yang dibangunkan bersama Pemuda UMNO, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu diserahkan selepas sesi dialog dan perbincangan hampir dua jam bersama Ka Siong.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata selain itu mereka turut menggesa syarikat penyedia (Grab, Foodpanda, Lalamove) menambah baik sistem peta digital di aplikasi syarikat supaya jarak perjalanan adalah selaras dengan sistem peta aplikasi di Google atau Waze.

"Meningkatkan pelan keselamatan operasi rakan penghantar p-hailing seperti muatan barangan yang dibawa, tempoh masa yang ditetapkan dalam penghantaran makanan dan barangan.

"Menggesa syarikat penyedia memberi perlindungan kemalangan dan telus dalam terma dan syarat tuntutan.

"Mewajibkan semua rider penghantar mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO dengan kerajaan memberi insentif sebanyak 80 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, selain bersetuju mengambil kira pelan berkenaan, kementerian juga akan memastikan wakil PENGHANTAR akan dilibatkan dalam sebarang pasukan petugas atau libat urus pindaan akta berkaitan yang menyentuh hak, kebajikan dan kepentingan rider penghantar.

Selain itu beliau berkata, Ka Siong turut menyokong resolusi utama persidangan meja bulat anjuran Pemuda UMNO dan wakil PENGHANTAR pada 20 September tahun lalu.

Katanya, antara resolusi itu termasuk mencadangkan status individu yang terbabit industri e-hailing dan p-hailing diiktiraf sebagai pekerja dan dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan.

"Pemuda UMNO melalui Sekretariat Pekerja Muda akan terus memantau segala yang dipersetujui demi memastikan hak, kebajikan dan keselamatan anak muda dalam industri gig ini sentiasa terbela dan terpelihara," katanya.

Semalam, Ka Siong menjelaskan lesen vokasional yang bakal diwajibkan terhadap penunggang p-hailing selepas pindaan terhadap tiga peruntukan undang-undang pengangkutan sedia ada tidak sama dengan lesen GDL yang digunakan terhadap kenderaan komersial mengangkut barangan.

Beliau berkata ia sebaliknya adalah satu lesen vokasional yang khusus untuk penunggang p-hailing.

Katanya, berbeza dengan permohonan untuk mendapatkan GDL, penunggang hanya perlu mengikuti kursus singkat beberapa jam dan tidak perlu ke institut memandu.

Terdahulu Ka Siong pada sidang medianya Isnin lalu memaklumkan penunggang perkhidmatan p-hailling diwajibkan memiliki lesen memandu vokasional (GDL), selepas pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan diluluskan.

Berita Harian X