SERDANG: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Agrobank memeterai perjanjian strategik hari ini bagi menggalakkan pembabitan lebih ramai rakyat dalam sektor pertanian menerusi Program Ladang Untuk Rakyat.
Program itu bertujuan untuk membuka ladang bagi tanaman getah, kelapa sawit dan durian yang akan dibangunkan oleh Perak SADC, sebelum diserahkan kepada rakyat yang layak menyertai program itu.
Menerusi kerjasama strategik itu, Agrobank menawarkan pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000 kepada peserta program dengan kadar keuntungan pembiayaan serendah kadar asas berian pembiayaan (KABP) 0 peratus.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kerjasama dan pembiayaan ditawarkan Agrobank itu diharap dapat membantu peserta Program Ladang Untuk Rakyat menjana keuntungan yang lumayan.
"Ladang ini dibangunkan Perak SADC dan kemudian kita berikan kepada rakyat dengan harapan mereka yang menyertai program ini dapat menjana keuntungan sama seperti yang dihasilkan Perak SADC.
"Sebelum ini, Program Ladang Untuk Rakyat hanya membabitkan kelapa sawit, namun sekarang kita buka untuk durian yang dilihat sesuai sebagai tanaman jangka panjang dan membolehkan peserta mendapat pulangan.
"Kita harap peserta dapat kadar pulangan sama seperti mereka yang menyertai kita dalam Program Ladang Untuk Rakyat bagi tanaman sawit," katanya pada sidang media di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.
Terdahulu, kerjasama strategik itu disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya, dengan disaksikan Saarani.
Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, kerjasama strategik itu diharap dapat menjana pendapatan tambahan dalam sektor penanaman komoditi seperti getah, kelapa sawit dan durian, sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi kumpulan berpendapatan rendah dan B40.
"Agrobank akan berperanan sebagai pembiaya kepada program ini, manakala Perak SADC pula akan bertanggungjawab menyedia kemudahan ladang, bimbingan, penyelenggaraan dan penjualan komoditi.
"Bagi memudahkan Peserta Ladang Untuk Rakyat, pendapatan hasil jualan mereka akan dibayar terus kepada Agrobank secara bulanan, manakala lebihan hasil jualan akan diagihkan kepada semua peserta secara dividen tahunan," katanya.
Program Ladang Untuk Rakyat antara Perak SADC dan Agrobank diperkenalkan buat pertama kali pada 2016 menerusi tanaman kelapa sawit dan getah yang membantu lebih 1,450 rakyat Perak, sebelum dikembangkan dengan tanaman durian.