KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menggubal peraturan yang mampan untuk menjaga kebajikan pekerja p-hailing, bukan dengan mewajibkan penunggang memiliki lesen memandu vokasional (GDL) yang akan menambah beban dan menyusahkan mereka.
Syarat baharu memiliki GDL yang dicadangkan Kementerian Pengangkutan (MoT) itu, menurut Angkatan Muda Keadilan (AMK), amat tidak wajar dan bakal menambah kerenah birokrasi terpaksa dihadapi pekerja p-hailing.
Pengarah Strategi AMK, Bryan Ng Yih Miin, berkata satu peraturan khusus oleh pihak kerajaan khususnya MoT perlu untuk mengelak pertukaran dan perubahan skim pembayaran oleh syarikat pengendali perkhidmatan p-hailing secara sesuka-hati.
"Kedua, rundingan di antara penunggang e-hailing, p-hailing dengan syarikat berkaitan perlu dibuat untuk mengenal pasti punca isu supaya penyelesaian berkesan dapat dirangka.
"Ketiga, kerajaan perlu memastikan keselamatan semua pekerja p-hailing dijaga rapi, bukan hanya memperkenalkan insurans, tetapi juga dengan mengiktiraf mereka sebagai pekerja mengikut Akta Pekerja 1955," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, kerajaan harus merujuk duluan di Mahkamah Agong United Kingdom membabitkan kes Uber BV melawan Aslam & Ors yang memutuskan bahawa pekerja p-hailing adalah diiktiraf sebagai pekerja.
Keempat, katanya, kerajaan sepatutnya menggubal peraturan dan proses undang-undang dalam isu dihadapi penunggang perkhidmatan 'hailing' secara pantas, berkesan dan rendah kos dengan menubuhkan satu badan bebas untuk menyelesaikan sebarang pertikaian.
"Yang terakhir, kerajaan juga sepatutnya memikirkan perancangan jangka panjang kelangsungan penunggang p-hailing. Tidak selamanya p-hailing perlu menjadi pilihan kerjaya utama, penghantar sepatutnya diberi latihan atau peluang menguasai kemahiran tertentu untuk terokai bidang lain," katanya.
Beliau mendakwa, lambakan penunggang p-hailing juga disebabkan kerajaan gagal mewujudkan peluang pekerjaan yang sesuai.
"Secara tuntasnya, kerajaan perlu buka mata, buka hati dan buka minda untuk menyelesaikan masalah yang berlaku, dengar keluhan rakyat dan orang ramai," katanya.
Bryan memaklumkan, pihaknya turut menerima aduan dan bantahan daripada kumpulan penunggang p-hailing terhadap cadangan MoT untuk mewajibkan GDL kerana ia akan membebankan mereka dari segi kos dan masa.
"Rata-rata penunggang p-hailing yang mencari rezeki dengan pekerjaan ini akan terpaksa cari kerja lain kerana tidak mampu membiayai kos mendapatkan lesen GDL," katanya.
Isnin lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata penunggang perkhidmatan p-hailling akan diwajibkan memiliki lesen GDL dalam cadangan pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan.
Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 juga mencadangkan penurunan had usia penunggang perkhidmatan penghantaran makanan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.
Kabinet juga bersetuju MoT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak turut mengawal selia perkhidmatan kenderaan barangan disediakan perniagaan penghantaran, terutama yang menggunakan motosikal (perkhidmatan p-hailing).
Bryan berkata, piket penunggang p-hailing baru-baru ini wajar menjadi amaran kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian yang pragmatik, berkesan dan menyeluruh, bukannya membebankan pekerja sektor perkhidmatan itu.