Selasa, 9 Ogos 2022 | 8:42pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan), Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan), Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib tarik balik dakwaan rasuah terhadap Nazlan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menarik balik dakwaan rasuah terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mensabitkan serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Bhd.

Najib menarik balik dakwaan itu menerusi afidavitnya, yang difailkan di Mahkamah Persekutuan, Jumaat lalu, menerusi firma guaman yang baru dilantik, Messrs Zaid Ibrahim Suflan T H Liew & Partners.

Menurut afidavit itu, Najib menyatakan "untuk rekod, saya secara mutlak menarik balik apa-apa tafsiran kepada apa yang saya nyatakan yang mungkin dianggap membawa maksud bahawa Yang Arif Mohd Nazlan sudah disiasat atas kemungkinan rasuah".

Najib mengulangi perkara itu di perenggan lain dengan menyatakan, "berkenaan dakwaan rasuah, saya sekali lagi menyatakan bahawa saya menarik baliknya".

Berikutan dakwaan itu, Mohd Nazlan pada 21 April lalu membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan terbabit.

Laporan polis itu dibuat supaya siasatan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, dapat dijalankan.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat bukti tambahan yang akan menunjukkan konflik kepentingan yang serius membabitkan hakim terbabit dan atas sebab itu, beliau memohon supaya kes itu dibicarakan semula.

Menerusi afidavit berkenaan, Najib berkata, dokumen yang ditemui pada 7 Julai 2022, menunjukkan Mohd Nazlan mengambil bahagian dalam perbincangan dan membuat keputusan kemudahan pinjaman sebanyak RM4.17 bilion kepada 1MDB untuk pengambilaliham Tanjong Energy.

"Oleh itu, ia adalah terbukti bahawa Yang Arif Mohd Nazlan terbabit secara rapat dalam kemudahan pinjaman yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Pembabitan Yang Arif Nazlan dalam transaksi yang diliputi dalam kes 1MDB dan persamaan antara kes itu dan kes SRC adalah faktor relevan yang menunjukkan konflik kepentingan dan sepatutnya menyebabkan penarikan dirinya sejak dari permulaan.

"Kegagalan untuk menarik diri walaupun Yang Arif sudah hilang kelayakan untuk menghakimi kes ini mewajarkan perbicaraan semula kes SRC," katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab afidavit pendakwaan pada 21 Julai, yang mengatakan pengetahuan peribadi Najib mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Mohd Nazlan tidak semestinya benar kerana agensi penguatkuasa bebas itu tidak akan mendedahkan maklumat sulit berkaitan siasatan yang sedang berlangsung.

Pendakwaan baru-baru ini menyatakan, dakwaan Najib terhadap Mohd Nazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, adalah percubaan terdesak untuk membatalkan perbicaraan kes itu.

Pada Julai 2020, Mohd Nazlan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas semua tujuh pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah Rayuan, pada 8 Disember tahun lalu, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir bekas Perdana Menteri itu.

Berita Harian X