KUALA LUMPUR: Galeri Prima di Balai Berita, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), di sini, kini dibuka kepada orang ramai untuk menyaksikan pelbagai karya batik yang unik dan menarik, bermula 1 Ogos lalu hingga 18 September ini.
Kurator Galeri Prima, Azlinn Aziz, berkata pameran 'Synthesis' itu dibuka setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad, bermula jam 10 pagi hingga jam 5 petang.
Katanya, Galeri Prima sebelum ini hanya dibuka pada Isnin hingga Jumaat, tetapi berikutan ia dijangka dikunjungi ramai, pameran kini dibuka setiap hari.
"Pameran ini turut menampilkan hasil karya batik daripada 37 artis tempatan yang terkenal. Tiada bayaran dikenakan bagi pengunjung ke galeri ini," katanya.
Datuk Chuah Thien Teng, Chuah Seow Keng, Yusof Ghani, Abdullah Jones, Fauzin Mustafa, Mastura Abdul Rahman, Zaharin Muhammad dan Raja Azhar Idris adalah antara artis yang menghasilkan karya bagi pameran ini.
Sebahagian hasil jualan disalur kepada TAFF.
Semalam, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hadir bagi merasmikan pameran 'Synthesis' ini. Sebahagian daripada hasil jualan karya seni itu akan disalurkan kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Beberapa karya yang dipamerkan adalah sebahagian daripada koleksi seni persendirian Tunku Azizah dan tidak pernah dipamerkan kepada umum sebelum ini.
Galeri Prima adalah galeri seni persendirian pertama mendapat kebenaran Tunku Azizah untuk mempamerkan karya eksklusif baginda.