Selasa, 9 Ogos 2022 | 2:59pm
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye

Tangani segera keluhan penghantar p-hailing

KUALA LUMPUR: Ikatan Komuniti Selamat mahu pihak berkuasa menangani segera isu yang dibangkitkan oleh penghantar p-hailing, sejak sekian lama.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penghantar p-hailing adalah barisan hadapan yang tidak didendang dan kekhuatiran mereka harus diberi perhatian.

Katanya, penghantar p-hailing juga adalah tulang belakang bagi ekonomi gig dengan ramai pihak yang bergantung kepada perkhidmatan mereka.

"Disebabkan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh merekalah, banyak isi rumah boleh memesan makanan dan barangan tanpa perlu mendedahkan diri mereka kepada COVID-19 dan bahaya lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan oleh penghantar berkenaan adalah tidak diberi pampasan mencukupi untuk tugasan mereka.

Beliau berkata, komuniti p-hailing juga sudah menyuarakan rungutan mereka dalam memo kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dua tahun lalu, tetapi hingga kini tiada sebarang maklum balas.

"Justeru, semua pihak harus menyelesaikan masalah ini dengan segera supaya pihak yang bergantung harap kepada perkhidmatan p-hailing tidak berdepan kesukaran," katanya.

Lam Thye berkata, pada masa sama, majikan dan pihak berkuasa juga perlu melihat keselamatan penghantar p-hailing di jalan raya.

Katanya, ini kerana sudah menjadi kebiasaan penghantar makanan dilihat gagal mematuhi arahan lampu isyarat dan keluar masuk lalu lintas sehingga mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Oleh itu, kita perlu menyelesaikan isu yang dihadapi oleh sebahagian daripada ekonomi gig ini, dan lebih cepat kita mencari jalan penyelesaiannya adalah lebih baik," katanya.

Berita Harian X