Selasa, 9 Ogos 2022 | 12:21pm

Padah letak vape di mulut bayi, peniaga burger direman 5 hari

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga burger yang meletakkan alat menghisap vape di mulut bayi perempuan berusia enam bulan, direman selama lima hari, bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret, R Salini, di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini.

Suspek yang berpakaian hitam, sebelum itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid memaklumkan, suspek ditahan polis ketika dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 12.45 tengah hari, semalam.

Polis menerima laporan kejadian oleh ibu bayi berkenaan pada jam 2.56 petang, Sabtu lalu.

"Menurut laporan tersebut, pengadu sedang makan di sebuah restoran di Bandar Baru Uda bersama anaknya iaitu bayi berkenaan, adik perempuan dan rakan lelaki adik perempuannya yang merupakan suspek dalam kejadian tersebut.

"Suspek yang sedang memangku bayi berkenaan ketika itu secara tiba-tiba meletakkan vape yang tidak berfungsi di mulut bayi manakala kejadian dirakam adik perempuan pengadu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam video berdurasi 16 saat itu, kelihatan lelaki berkenaan meletakkan vape di mulut bayi itu sambil ketawa kecil selain turut kedengaran suara wanita seolah terhibur dengan tindakan lelaki terbabit.

Peniaga burger yang meletakkan alat menghisap vape di mulut seorang bayi direman lima hari bermula hari ini. - NSTP/Omar Ahmad
Peniaga burger yang meletakkan alat menghisap vape di mulut seorang bayi direman lima hari bermula hari ini. - NSTP/Omar Ahmad

Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang lelaki ‘menyuapkan’ rokok elektronik vape ke mulut seorang bayi. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang lelaki ‘menyuapkan’ rokok elektronik vape ke mulut seorang bayi. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X