Selasa, 9 Ogos 2022 | 12:16pm
Gambar hiasan - sebahagian daripada perkhidmatan p-hailing dalam negara ini
Gambar hiasan - sebahagian daripada perkhidmatan p-hailing dalam negara ini

PENGHANTAR tak setuju 'rider' diwajibkan lesen GDL

KUALA LUMPUR: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) membantah syarat wajib memiliki lesen memandu vokasional (GDL) kerana akan membebankan kalangan penghantar p-hailing.

Presiden PENGHANTAR, Zulhelmi Mansor, berkata pihaknya tidak setuju dengan syarat itu berdasarkan beberapa asas pelaksanaan lesen GDL termasuk motosikal penghantar p-hailing wajib menjalani proses pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Selain itu katanya, motosikal akan dikategorikan sebagai kenderaan perdagangan dan akan menyebabkan kos penghantar menjadi lebih tinggi kerana membabitkan Polisi Insurans Kenderaan Perdagangan.

"Motosikal penghantar p-hailing juga akan mengalami susut nilai apabila hendak dijual semula manakala proses untuk menukar semula status kenderaan perdagangan ke status kenderaan peribadi adalah rumit.

"Saya percaya penghantar p-hailing juga akan melalui kerenah birokrasi dalam proses mendapatkan lesen GDL pemeriksaan PUSPAKOM," katanya.

Zulhelmi berkata, industri sektor ekonomi gig p-hailing adalah sebuah industri pekerjaan bebas dan fleksibel, serta tidak mengganggu industri sektor lain seperti sektor ekonomi gig e-hailing yang mengganggu eko-sistem industri teksi dan kereta sewa.

Malah katanya, hingga kini dapat dilihat pelaksanaan Lesen Kenderaan Pengangkutan (PSV) yang diwajibkan kepada pemandu e-hailing hingga kini masih dalam keadaan bermasalah.

"Dalam hal ini, kerajaan seharusnya memandang isu-isu yang lebih besar iaitu isu ketidakstabilan kadar upah pembayaran perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pesanan dan isu diskriminasi yang dilakukan syarikat penyedia perkhidmatan terhadap penghantar p-hailing.

"Kerajaan seharusnya menjiwai denyut nadi rakan-rakan penghantar yang juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia dan turut terbeban dengan ketidakstabilan ekonomi masa kini.

"Kerajaan juga seharusnya memberi penghargaan kepada penghantar p-hailing yang juga adalah sebahagian daripada petugas barisan hadapan negara dalam membantu kerajaan dan rakyat ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19," katanya.

Justeru katanya, PENGHANTAR yang mewakili rakan-rakan penghantar p-hailing membantah keputusan di bawah libat urus Kementerian Pengangkutan dalam meneruskan hasrat mewajibkan lesen GDL.

Katanya, PENGHANTAR juga berhasrat mengadakan sesi pertemuan bersama Kementerian Pengangkutan bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan pelaksanaan berkenaan.

"PENGHANTAR akan bersama Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda Pergerakan Pemuda Malaysia (PPUM) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga akan mengambil langkah drastik dan berharap campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani isu ini," katanya.

Sementara itu, Zulhelmi berkata, dalam pertemuan semalam antara yang dibangkitkan adalah 10 Pelan Jangka Pendek yang pernah dikemukakan sebelum ini untuk dilaksanakan termasuk berkenaan penetapan harga lantai bagi pengambilan dan penghantaran barang serta makanan.

Selain itu katanya, pihaknya juga mengemukakan mengenai pelan jangka panjang berdasarkan Lima Tuntutan Hak Penghantar.

"Bagaimanapun, isu harga yang tiada pengawalan serta berlaku penurunan mendadak kerana dipercayai dikawal sesuka hati oleh operator harus diperhalusi dahulu oleh kerajaan.

"Melalui pertemuan semalam, kami mahukan jaminan penyelesaian oleh kerajaan," katanya.

Semalam BH melaporkan, penunggang perkhidmatan p-hailling diwajibkan memiliki lesen GDL, selepas pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan diluluskan.

Berita Harian X