Isnin, 8 Ogos 2022 | 7:48pm
Kementerian Pengangkutan akan meminda akta untuk mewajibkan penunggang p-hailing memiliki GDL. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Kementerian Pengangkutan akan meminda akta untuk mewajibkan penunggang p-hailing memiliki GDL. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Penunggang p-haling diwajibkan GDL

PUTRAJAYA: Penunggang perkhidmatan p-hailling diwajibkan memiliki lesen memandu vokasional (GDL), selepas pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan diluluskan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 menetapkan had usia penunggang perkhidmatan penghantaran makanan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu bersetuju supaya Kementerian Pengangkutan dan agensinya iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Negeri Sarawak untuk turut mengawal selia perkhidmatan kenderaan barangan yang disediakan oleh perniagaan penghantaran, terutamanya yang menggunakan motosikal (perkhidmatan p-hailing).

"Pindaan had usia ini akan membolehkan Keluarga Malaysia bekerja sebagai seorang penunggang motosikal p-hailing apabila mempunyai Lesen Memandu Kompeten dalam kelas motosikal dan seterusnya mendapatkan GDL bagi tujuan itu.

"Ketetapan ini seterusnya akan membuka peluang kepada lebih ramai menyertai sektor ekonomi gig untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan p-hailing dan platform perkhidmatan penghantaran lain.

"Ketiga-tiga pindaan akta terbabit akan dibentangkan untuk perbahasan dan kelulusan Parlimen pada dalam sesi akan datang," katanya selepas sesi dialog bersama penunggang p-hailing, hari ini.

Ka Siong berkata, penurunan had usia itu dibuat selepas melihat demografi di Malaysia, selain penghantaran makanan kini menjadi punca rezeki yang penting, termasuk remaja yang sudah tidak lagi bersekolah pada usia 18 tahun.

Beliau berkata, ada sesetengah pihak termasuk penunggang p-hailing meminta tidak diwajibkan mengambil GDL, namun ia bagi memastikan semua penawar perkhidmatan berkenaan menghadiri kursus.

Katanya, ini juga bagi mengekang pihak yang tidak mempunyai lesen daripada beroperasi tanpa memahami peraturan dan pematuhan undang-undang yang mengawal selia perkhidmatan berkenaan.

Berita Harian X