Sabtu, 6 Ogos 2022 | 10:50pm
Video yang tular menunjukkan seorang lelaki ‘menyuapkan’ rokok elektronik vape ke mulut seorang bayi. - Foto ihsan pembaca
Video yang tular menunjukkan seorang lelaki ‘menyuapkan’ rokok elektronik vape ke mulut seorang bayi. - Foto ihsan pembaca

Lelaki suap vape pada bayi

KUALA LUMPUR: Aktivis perubatan dan orang ramai meluahkan rasa marah berikutan tular satu video yang menunjukkan seorang lelaki 'menyuapkan' rokok elektronik vape ke mulut seorang bayi.

Mereka menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mendesak tindakan tegas diambil terhadap lelaki itu serta pihak lain yang sama terbabit.

Dalam video berdurasi berdurasi 16 saat itu, seorang lelaki dilihat dengan bersahaja memasukkan muncung vape ke mulut bayi yang berada di atas pangkuannya.

Perbuatan terbabit dipercayai dirakamkan oleh seorang wanita, yang kedengaran ketawa sambil berkata, 'Pecah rekod ah Abi.. pecah rekod nanti, nanti you sedut'.

Aktivis perubatan, yang juga EXCO Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Megat Mohammad Amirul Amzar, berkata perbuatan itu jelas membuktikan yang negara ini sememangnya memerlukan satu dasar lengkap bagi memastikan generasi muda bebas daripada bahaya rokok dan produk tembakau lain.

"Memang ada sebab kenapa ada undang-undang. Sebab, di dunia ini bukan semua manusia bijak. Bukan semua manusia ada prinsip moral yang betul dan bukan semua manusia dapat peluang belajar benda betul.

"Tular satu video seorang lelaki, yang bergelar abi, saya kira ayah, suapkan vape kepada bayinya. Yang rakam, mungkin ibu. Industri vape sepatutnya tidak dibenarkan bertapak di dunia ini. Dilarang terus bagi mengelakkan perkara macam ini berlaku," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Dasar Generasi Penamat (GEG) yang diperjuangkan Kementerian Kesihatan (KKM) mampu menyelamatkan individu yang yang lahir pada 2007 dan seterusnya mengelakkan mereka daripada terbabit dengan penggunaan rokok dan produk tembakau lain.

"Tapi, KKM masih ambil jalan tengah, cadangkan regulasi, dengan syarat mereka sokong GEG supaya kerosakan yang mereka bawa tidak membabitkan generasi yang lahir 2007 ke atas.

"Itupun (GEG) mereka masih nak bantah! Bukan itu sahaja, ada juga MP (Ahli Parlimen) yang bantah atas sebab kebebasan peribadi.

"Inilah hasilnya apabila nak dokong sangat kebebasan membuat kerosakan. Tahniah Malaysia. Tahniah MP-MP yang berjaya halang RUU GEG. Tahniah juga kepada penyokong mereka yang kononnya guna alasan kebebasan, penyalahgunaan kuasa dan macam-macam alasan bodoh lagi.

"Jika pihak terbabit tidak mahu hidup dengan peraturan, jadilah seperti binatang, yang lebih menyayangi anaknya," katanya.

Sementara itu, menerusi ciapan di Twitter, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Haikal, mengakui dia adalah lelaki yang dalam video yang tular itu.

Penafian lelaki dalam video yang dikongsikan di Twitter. - Foto ihsan pembaca
Penafian lelaki dalam video yang dikongsikan di Twitter. - Foto ihsan pembaca

Beliau mendakwa, vape itu tidak berfungsi dan memang selalu dijadikan barang mainan oleh bayi berkenaan.

"Saya mengaku salah saya melakukan perbuatan beri vape," katanya yang mendakwa dia bukan bapa bayi itu dan sudah membuat laporan polis.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Dewan Rakyat bagi menyelesaikan isu ketagihan produk nikotin.

RUU itu yang antara lain, memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 atau generasi penamat (GEG) dan seterusnya, merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti.

Minggu lalu, Dewan Rakyat memutuskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan sebelum dikuatkuasakan.

.

Berita Harian X