Sabtu, 6 Ogos 2022 | 8:46pm
Dr Roziah (tengah) menyambut kepulangan atlet angkat berat UiTM yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Komanwel 2022, Aniq (dua dari kiri) di KLIA hari ini. - Foto NSTP/Samadi Ahmad.
Dr Roziah (tengah) menyambut kepulangan atlet angkat berat UiTM yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Komanwel 2022, Aniq (dua dari kiri) di KLIA hari ini. - Foto NSTP/Samadi Ahmad.

Aniq dapat laluan khas pengajian ke peringkat ijazah

SEPANG: Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Aniq Kasdan, yang memenangi pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Komanwel 2022, mendapat laluan khas untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

Mohamad Aniq juga akan diberi pengecualian yuran pembelajaran dan asrama sehingga ke peringkat tertinggi pembelajaran di universiti berkenaan.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata inisiatif itu bertujuan menghargai pencapaian Mohamad Aniq, yang mengharumkan nama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UiTM di peringkat global.

Aniq ketika beraksi dalam kategori 55kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di di National Exhibition Centre. - NSTP/Aswadi Alias
Aniq ketika beraksi dalam kategori 55kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di di National Exhibition Centre. - NSTP/Aswadi Alias

Beliau berkata, kelayakan laluan khas itu digunakan melalui Anugerah Kelayakan Akademik (APEL), yang diberi berdasarkan pengalaman bekerja dan pembelajaran terdahulu yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Sebelum ini, setiap pelajar yang berjaya memenangi pingat di peringkat antarabangsa akan dianugerahkan hadiah wang tunai RM1,000.

"UiTM juga bercadang untuk menambah hadiah wang tunai ini," katanya ketika ditemui pada sambutan pulang wira atlet angkat berat negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR) UiTM, Prof Mohd Anizu Mohd Nor.

Mohamad Aniq, 20, adalah penuntut Diploma Pengurusan Sukan Pengajian Luar Kampus, FSSR, yang dianjurkan dengan kerjasama pintar Majlis Sukan Negeri Johor.

Mohamad Aniq mencipta sensasi apabila meraih emas pertama negara di Birmingham, United Kingdom selepas mengungguli kategori 55 kilogram (kg), dengan mengumpul keseluruhan angkatan sebanyak 249 kg bagi disiplin snatch dan clean & jerk.

Prof Roziah berkata, kelayakan laluan khas pembelajaran yang diperkenalkan tahun ini juga akan diberi kepada pelajar lain yang berjaya memenangi pingat emas di peringkat antarabangsa.

Selain itu, beliau sudah mengarahkan FSSR membuat satu kertas kerja untuk dibentangkan kepada Senat Universiti dalam masa terdekat untuk memberikan imbuhan wang tunai sehingga RM10,000 mengikuti kategori sukan kepada pelajar yang berjaya memenangi pingat di peringkat Olimpik.

Berita Harian X