Sabtu, 6 Ogos 2022 | 8:41am
Antara pengunjung yang hadir ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS, Serdang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Antara pengunjung yang hadir ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS, Serdang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

MAHA 2022: Laman Agro Nanas beri pengalaman rasai suasana di ladang

SERDANG: Laman Agro Nanas (Laman Nanas) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 bakal memberikan pengalaman kepada pengunjung untuk merasai sendiri suasana di ladang nanas.

Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Wilayah Tengah, Muhamad Yusni Ramelan, berkata perkara itu adalah antara satu daripada usaha untuk menerapkan ilmu pertanian nanas kepada pengunjung sekali gus dapat memangkin minat masyarakat terhadap industri itu.

"Di Laman Nanas kami menyediakan satu kawasan penanaman seluas dua ekar (0.8 hektar), melibatkan penanaman lebih tujuh jenis nanas yang terdapat di dalam negara antaranya Josapine, MD2 dan Yankee.

"Di ladang itu nanti, pengunjung akan dapat melihat sendiri perbezaan umur pokok nanas dan plot nurseri yang disediakan juga dapat memberikan maklumat kepada pengunjung berkenaan jenis-jenis sulur nanas yang dijadikan sebagai sumber benih untuk penanaman nanas," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata untuk edisi kali ini, pihaknya juga akan menonjolkan inovasi terbaharu berkenaan teknik penanaman nanas pada waktu malam (Pineapple Night Farming) bagi memberi pendedahan mengenai kepelbagaian kaedah pengurusan tanaman buah itu yang secara lazimnya dilaksanakan pada waktu siang.

Kaedah itu yang menggunakan tenaga solar merupakan satu usaha transformasi LPNM dalam mengoptimumkan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, Laman Nanas akan turut melancarkan dua Daftar Varieti baharu iaitu Nanas Cobek (AC13) dan Nanas Crystal Honey (AC14) yang dapat memberikan alternatif lebih luas kepada para pengusaha untuk memilih jenis nanas yang ditanam, berikutan permintaan nanas segar yang semakin meningkat di dalam negara.

"Bagi jualan Nanas Cobek dan Crystal Honey pada ketika ini mampu mencapai harga ladang antara RM3 hingga RM4 sekilo manakala harga runcit pula mampu mencapai sehingga RM6 sekilo bergantung kepada kualiti buah," katanya.

LPNM sebagai pengelola laman itu turut menyasarkan seramai 100,000 pengunjung sepanjang 11 hari MAHA berlangsung dan sebanyak RM1.5 juta dalam nilai dagangan.

Laman Nanas akan menampilkan sebanyak 12 pempamer dan jualan terdiri daripada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di bawah LPNM melibatkan jualan makanan berasaskan nanas dan jualan bukan makanan.

Antara aktiviti lain yang disediakan ialah Pineapple Hunt, teka berat buah, pertandingan memasak, perkongsian kisah kejayaan usahawan LPNM, demo masakan selebriti serta Cef LPNM dan pelbagai lagi program menarik.

Pada hari ini, 1,000 pengunjung terawal bermula 1 tengah hari yang berkunjung ke Laman Nanas berpeluang menerima seekor ayam dan sebiji nanas. – BERNAMA

Berita Harian X