Khamis, 4 Ogos 2022 | 8:15am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kes COVID-19 melonjak kembali lepasi 5,000

PUTRAJAYA: Kes COVID-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan mendadak dengan 5,330 kes semalam, berbanding 4,204 kes kelmarin dengan 10 kematian.

Pertambahan kes berkenaan membabitkan 5,317 kes penularan tempatan dengan 13 kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Jumlah itu sekali gus menjadikan angka keseluruhan jangkitan COVID-19 di negara ini meningkat kepada 4,692,800 kes.

Setakat semalam, sebanyak 46,523 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dilaporkan dan daripada jumlah itu 96.5 peratus atau 44,885 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah manakala 1,560 kes dirawat di hospital.

Sejumlah 49 individu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 kes memerlukan alat bantuan pernafasan manakala 29 pesakit pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sementara itu, menerusi COVIDNOW, data turut menunjukkan semalam terdapat 10 kes kematian akibat jangkitan berkenaan dengan satu kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ia menjadikan jumlah angka korban meningkat kepada 35,995 kes dan daripada jumlah itu sebanyak 7,647 kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Sementara itu, sebanyak 3,075 kes sembuh dilaporkan setakat semalam sekali gus menjadikan jumlah individu pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan adalah 4,610,282 kes.

Berita Harian X