Rabu, 3 Ogos 2022 | 4:00pm

DUN Terengganu tidak bentang RUU lompat parti

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu tidak berhasrat untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan lompat parti pada persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Satipul Bahari Mamat, berkata kerajaan negeri tiada keperluan untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen, termasuk Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) bertukar parti dikuat kuasakan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan akur jika terdapat arahan daripada pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

"Jika parti di peringkat pusat arahkan agar pindaan RUU berkaitan larangan lompat parti dibentangkan untuk meminda Undang-Undang Tubuh negeri pada persidangan DUN, kita akan akur.

"Kita berpendapat, tiada keperluan untuk kerajaan negeri bentangkan RUU ini pada persidangan DUN akan datang," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis perasmian dan pelancaran Terengganu Contact Centre (TeCC), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Majlis perasmian TeCC dirasmikan Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalal.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkemungkinan Kerajaan Terengganu akan mengikut langkah beberapa kerajaan negeri, termasuk Selangor untuk membentangkan RUU itu bagi membolehkan pindaan Undang-Undang Tubuh negeri pada persidangan DUN akan datang.

Mengulas lanjut, Satipul Bahari, yang juga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, berkata hanya terdapat wakil rakyat daripada dua parti iaitu PAS dan Barisan Nasional (BN) sebagai ahli di DUN Terengganu.

Katanya, 22 Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) mewakili PAS, manakala 10 lagi mewakili BN.

"Jadi, kita berpendapat tiada keperluan untuk kerajaan negeri

membentangkan RUU Anti Lompat Parti bertujuan meminda Undang-Undang Tubuh negeri," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satipul Bahari Mamat.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satipul Bahari Mamat.
Berita Harian X