Selasa, 2 Ogos 2022 | 9:33pm
Keadaan rumah penduduk di Kampung Batu Tujuh di Baling yang dimasuki air susulan banjir kilat selepas hujan berterusan selama dua jam petang tadi. - Foto iohsan penduduk
Keadaan rumah penduduk di Kampung Batu Tujuh di Baling yang dimasuki air susulan banjir kilat selepas hujan berterusan selama dua jam petang tadi. - Foto iohsan penduduk

Baling banjir lagi, beberapa kampung terkesan Sungai Charok Juan melimpah

BALING: Bencana banjir terus-menerus menghantui penduduk daerah ini, dengan terkini beberapa kampung di sekitar Mukim Baling pula dilapor terkesan akibat kejadian sama hari ini.

Kejadian banjir kilat berlaku selepas hujan lebat berterusan selama dua jam bermula 5 petang tadi.

Walaupun tidak seteruk dua tragedi sebelum ini, kejadian hari ini tetap mengembalikan trauma penduduk selepas keperitan akibat dua bencana banjir dan kepala terdahulu belum lagi terubat.


Dalam kejadian petang tadi, banjir kilat melanda sekurang-kurangnya tiga kampung iaitu Kampung Batu Tujuh Rambong, Charok Juan dan Telok Sanau.

Penduduk mendakwa, aliran air dari bukit di Gunung Inas mengalir laju ke kampung berkenaan sehingga menyebabkan Sungai Charok Juan melimpah.

Kejadian banjir kilat berlaku selepas hujan lebat berterusan selama dua jam bermula 5 petang tadi. - Foto APM
Kejadian banjir kilat berlaku selepas hujan lebat berterusan selama dua jam bermula 5 petang tadi. - Foto APM

Seorang penduduk, Fozi Hussain, 58, berkata aliran air dari Gunung Inas itu menyebabkan Sungai Charok Juan mengalir deras dan melimpah ke penempatan penduduk khususnya di kawasan pinggir tebing.

Difahamkan, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Tunku Puan Habsah susulan banjir terbabit.

Banjir melanda tiga kampung di Mukim Baling dalam kejadian banjir kilat apabila air Sungai Baling melimpah ke penempatan penduduk malam ini. - Foto ihsan APM
Banjir melanda tiga kampung di Mukim Baling dalam kejadian banjir kilat apabila air Sungai Baling melimpah ke penempatan penduduk malam ini. - Foto ihsan APM

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, mengesahkan hujan lebat yang melanda pada sebelah petang menyebabkan rumah penduduk dinaiki air.

"Saya nasihatkan penduduk berjaga-jaga, sekiranya ada kemungkinan bahaya mereka perlu keluar daripada rumah dan segera berpindah ke tempat selamat.

Kejadian banjir kilat berlaku selepas hujan lebat berterusan selama dua jam bermula 5 petang tadi. - Foto APM
Kejadian banjir kilat berlaku selepas hujan lebat berterusan selama dua jam bermula 5 petang tadi. - Foto APM

"Musim sekarang ini tabujran hujan tidak boleh dijangka dan saya bimbang (jika tidak berpindah segera apabila diminta) mereka mungkin terperangkap pada waktu malam," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Shamsudin mengingatkan penduduk supaya tidak berlengah sekiranya keadaan membahayakan dan segera berpindah untuk menyelamatkan diri terlebih dahulu.

"Pastikan juga dokumen penting dibawa bersama," katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, banjir kilat melanda sembilan kampung di Mukim Kupang menjejaskan sekurang-kurangnya 75 keluarga membabitkan 300 penduduk.

Selain Kampung Iboi yang terkesan teruk dalam bencana kali pertama pada 4 Julai lalu, turut terjejas adalah Lata Chelak, Padang Empang, Masjid Iboi, Bendang Padang, Bendang Bechah, Jerai, Hangus dan Bukit Hijau.

Satu pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka bagi menempatkan 19 keluarga daripada 58 mangsa yang terjejas teruk dalam banjir itu.

Tragedi itu yang kewdua dilapor berlaku dalam tempoh kurang sebulan selepas bencana banjir dan kepala air pada 4 Julai lalu menyebabkan tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil maut, manakala 17 rumah musnah dan 800 lagi terjejas.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, turut memaklumkan kawasan persekitaran Gunung Inas di Baling yang menjadi lokasi bencana kepala air awal bulan lalu, dikesan belum stabil dan masih terdedah pada ancaman tanah runtuh.

Berita Harian X