Selasa, 2 Ogos 2022 | 2:54pm
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Nazri tak tolak kemungkinan kerajaan disaman

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak menolak kemungkinan kerajaan disaman sebilangan remaja berusia 18 tahun, jika Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 diluluskan.

Beliau berkata, tindakan perundangan itu mungkin diambil golongan remaja terbabit dengan alasan kerajaan melanggar kebebasan mereka memilih untuk merokok atau sebaliknya.

Ini kerana, katanya, penggubalan RUU itu akan melarang individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 daripada merokok dan menghisap vape, sekali gus mewujudkan diskriminasi kepada golongan terbabit.

"Saya setuju jika kita haram rokok terus. Bila kita haram rokok, maka mereka (lahir 2007) juga tidak boleh hisap rokok, makna kita pun tak boleh hisap rokok.

"Kenapa diskriminasi? Bolehlah jawab (penguatkuasaan secara) bertahap ke apa, tetapi kamu mencipta diskriminasi.

"Saya percaya, nanti ada budak 18 tahun, dua, tiga orang akan bawa kes ke mahkamah dan menuntut mahkamah menentukan sama ada hak asasi mereka dicabuli (atau tidak), kerana adanya akta ini," katanya.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata demikian ketika membahaskan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 di Dewan Rakyat, malam tadi.

RUU dibentangkan bagi bacaan kali kedua oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, di Dewan Rakyat, itu antara lain menggubal peruntukan generasi penamat bagi melindungi golongan muda Malaysia daripada terjebak dengan tabiat merokok.

Mohamed Nazri berkata, kebebasan memilih adalah hak asasi manusia yang sangat penting dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang bersetuju dengan Kementerian Kesihatan mengenai mudarat merokok, bagaimanapun menjelaskan hanya membangkitkan kebimbangan supaya kementerian dapat meneliti perkara berkenaan.

Beliau juga mengingatkan bahawa individu yang lahir pada 2007 akan berusia 18 tahun apabila peruntukan RUU berkenaan dijadual berkuat kuasa pada 2025.

"Jadi, kita bukan bercakap pasal kanak-kanak sebenarnya, kita bercakap mengenai rakyat berusia 18 tahun yang boleh mengundi dan dalam Perlembagaan, beberapa kebebasan dijamin, mereka berhak memilih untuk merokok," katanya.

Beliau berkata, terdapat kaedah mencegah asap rokok dihidu perokok pasif, tanpa melarang merokok secara langsung, seperti kuasa Menteri Kesihatan menetapkan kawasan sebagai kawasan larangan merokok.

"Namun, saya tidak fikir kita boleh mengawal orang dalam rumah mereka," katanya.

Berita Harian X